Categories : Sukan

 

ATLET negara, Badrul Hisyam Abdul Manap. – Foto Rasul Azli Samad

KUALA LUMPUR: Prestasi sebenar atlet negara, Badrul Hisyam Abdul Manap dalam acara 400 meter (m) akan diuji dalam pertandingan AGN League 7, di Pretoria, Afrika Selatan, Sabtu ini.

Begitupun jurulatih kebangsaan, Mohd Poad Md Kassim tidak meletakkan sasaran tinggi memandangkan ia adalah penampilan pertama atlet berusia 20 tahun itu selepas lima tahun tidak berlari dalam acara itu, selain masih dalam proses menyesuaikan diri di benua Afrika.

“Pada Sabtu ini, akan bermulanya pertandingan di Pretoria dan ia adalah kejohanan pertama akan disertai oleh atlet negara sejak berada di sini (Afrika Selatan) bagi menjalani latihan dan pertandingan.

“Kejohanan dinamakan AGN League 7 itu akan disertai Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi dalam acara 100m, manakala Badrul Hisyam dan Muhammad Azam Masri dalam acara 400m.

“Badrul Hisyam diletakkan dalam acara 400m sebagai percubaan jadi saya harap dia dapat mencatatkan masa di bawah 47saat (s). Apa pun saya harap semua atlet dapat kekalkan momentum kerana mereka baru saja hendak menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini (Afrika Selatan),” kata Mohd Poad kepada BH.

Sebelum ini, Poad memaklumkan bahawa pelari yang pernah dipalit kontroversi membabitkan rekod pecut 100m kebangsaan, Badrul Hisyam bakal beralih angin ke acara 400m kerana dia dilihat mampu mencipta kejutan.

Badrul dalam masa sama turut mengakui ia bukan halangan memandangkan dirinya pernah berlari dalam acara itu dari tingkatan satu hingga empat, dengan catatan masa sekitar 48s.

Untuk rekod, seramai 11 atlet olahraga termasuk dua jurulatih berkampung di Afrika Selatan untuk menjalani latihan dan pertandingan sebagai persiapan ke Sukan SEA, Kuala Lumpur Ogos ini.

Mereka adalah pemegang rekod pecut 100m kebangsaan, Khairul Hafiz, Badrul Hisyam, Muhammad Azam Masri, Jonanthan Nyepa, Muhammad Haiqal dan Rayzam Shah Wan Sofian, manakala atlet wanita adalah Shereen Samson Vallabouy, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nurul Faezah Asma Mazlan, S Komalam serta Siti Fatimah Mohamad.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp