Categories : Jenayah

 

PUTRAJAYA: Lima individu termasuk seorang bergelar Datuk direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes salah guna kedudukan dalam FELDA bagi projek penternakan ikan Sturgeon bernilai AS$10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014.

Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 31 Januari ini terhadap kelima-lima suspek dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.

Mereka yang direman adalah bekas Pengarah Besar FELDA; bekas Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan Sumber Strategik) FELDA; bekas pegawai projek penternakan ikan terbabit; Head of London Properties FELDA dan Penolong Pegawai Tadbir FELDA.

Semua suspek berusia antara 30 hingga 57 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang antara jam 11.30 pagi hingga jam 1.30 tengah hari melalui Operasi Caviar.

PEGAWAI SPRM membawa lima orang dari pengurusan kanan FELDA termasuk seorang bergelar Datuk, untuk mohon perintah tahanan reman dipercayai menyalahgunakan kedudukan bagi projek penternakan ikan Sturgeon bernilai RM47.6 juta sejak 2014 di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini. – Foto Fariz Iswadi Ismail

Terdahulu mereka tiba di Mahkamah Majistret pada jam 9 pagi memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari.

Kes disiasat mengikut Sekyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengurus jualan antarabangsa GLC berkenaan, selepas direman enam hari sebelum ini.

Mereka ditahan membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah berkaitan projek pasport elektronik (e-Pasport) bernilai lebih RM700 juta di sebuah negara di benua Afrika.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman, membebaskan pemangku CEO bergelar Datuk berusia 58 tahun dan pengurus jualan antarabangsa GLC berusia 36 tahun dengan jaminan SPRM sebanyak RM40,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp