Categories : Semasa

 

Kuala Lumpur: Selangor mahu menjadikan perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang MOF FC esok sebagai ‘pemulih semangat’ sebagai persiapan berdepan Perak dalam perlawanan Liga Super pada 11 Mac depan.

Selepas mengalami kekalahan berturut-turut kepada Terengganu (1-4) dan Pahang (1-3), jurulatih, P Maniam mengakui moral anak buahnya agak menurun serta memerlukan ‘penawar’ untuk mengembalikan keyakinan mereka.

“Pemain memerlukan suntikan motivasi untuk kembali bangkit. Justeru, saya anggap perlawanan menentang MOF ini adalah gelanggang terbaik untuk mereka melakukannya. Kemenangan dalam perlawanan itu kelak sangat penting, bukan saja untuk kami meneruskan saingan dalam Piala FA malah mampu memulihkan semangat pemain.

“Kami akan berdepan Perak selepas ini yang sudah pasti menjanjikan satu lagi perlawanan yang sukar. Saya mahu pemain turun menghadapi pasukan itu dalam keadaan bersedia serta bersemangat tinggi,” kata Maniam.

Begitu pun jurulatih itu tidak memandang rendah keupayaan MOF sambil mengingatkan anak buahnya supaya jangan mengambil mudah walaupun kelab itu sekadar berstatus pasukan Liga FAM.

“Kalau kami kalah perlawanan ini, ia akan membawa kesan lebih besar ke atas pasukan. Oleh itu, saya harap pemain memberi tumpuan 100 peratus untuk memenanginya.”

Maniam mengakui beliau akan membuat sedikit rombakan dan formasi permainan bagi meningkatkan prestasi pasukan terutama dalam aspek menyerang serta bertahan.

Berdasarkan perlawanan persahabatan menentang UKM FC baru-baru ini, pemain import dari Sepanyol, Alfonso de la Cruz mungkin beralih ke posisi pertahanan tengah selepas persembahan tidak meyakinkan sebagai pemain tengah bertahan ketika menentang Pahang.

Maniam ternyata kecewa dengan persembahan pemain itu sehingga mengambil keputusan mengeluarkannya pada minit ke-32, diganti pemain import Indonesia, Ilham Udin Armaiyn.

“Kekalahan kepada Pahang itu menunjukkan bahawa kami perlu meningkatkan aspek menyerang serta bertahan. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain sebaliknya menjadi tanggungjawab saya untuk memperbaiki sebarang kelemahan,” katanya.


Tags :

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp