Categories : Semasa

 

Kuala Lumpur: Lebih selamat dan rasa terjamin. Itu antara persepsi orang ramai terhadap aspek keselamatan dalam negara pada masa kini.

Keadaan ini boleh dilihat apabila laporan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 menerusi Petunjuk Persepsi Jenayah (PCI) bagi tempoh 2016 hingga 2017 menunjukkan persepsi rasa takut orang awam sudah menurun hingga 40 peratus.

Ia juga didorong oleh penurunan kadar indeks jenayah antara 2010 hingga 2017 yang mencatatkan penurunan hingga 53 peratus.

Malah, boleh dikatakan rakyat negara ini mampu menarik nafas lega berikutan keselamatan diri serta keluarga mereka terutama ketika berada di tempat awam lebih terjamin ekoran usaha kerajaan mewujudkan persekitaran lebih selamat.

Ahli Majlis Tertinggi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, persepsi rasa takut menunjukkan penurunan ini bukan saja baik dari aspek keselamatan serta kesejahteraan hidup masyarakat di negara ini, sebaliknya mampu memberi keuntungan kepada negara.

Beliau berkata, ia mampu menarik pelabur serta pelancong untuk ke negara ini sekali gus mampu menarik masuk aliran wang asing.

“Apabila pelancong serta pelabur rasa selamat, maka sektor pelancongan, perhotelan dan hospitaliti negara ini berkembang.

“Ia sekali gus menjadikan sektor perniagaan turut berkembang dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Lee berkata, persepsi rasa selamat ini penting berikutan ia menjadi kayu pengukur kepada aspek sosio-kehidupan masyarakat.

Katanya, usaha menjadikan negara ini selamat untuk didiami bukan saja terletak pada bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dalam kalangan masyarakat.

“Adalah penting bagi masyarakat untuk menjadi mata serta telinga pihak berkuasa terutama dalam mengawasi kawasan kejiranan mereka bebas jenayah.

“Jika penduduk dapat bersatu padu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa, pastinya sesiapa pun takut untuk melakukan jenayah,” katanya.

KESELAMATAN diri serta keluarga di tempat awam lebih terjamin ekoran usaha kerajaan mewujudkan persekitaran lebih selamat.

Dalam usaha memastikan aspek keselamatan menjadi teras memacu keharmonian negara, kerajaan menerusi NTP turut melaksanakan pelbagai program seperti polis bersama komuniti, Program Penguatkuasaan Komuniti (CEP), pemodenan pasukan polis, selain pengukuhan kawalan keselamatan
di sempadan negara.

Menerusi program polis bersama komuniti, sepanjang 2017, sebanyak 1,687 program sudah dijalankan dan sebanyak 64 kawasan berisiko tinggi kini diletakkan dalam senarai Program Penguatkuasaan Komuniti (CEP).

Bagi memantapkan lagi usaha meningkatkan persepsi rasa selamat dalam masyarakat, sepanjang tahun ini juga sebanyak 22 balai polis membabitkan 11,500 warga PDRM sekitar ibu negara akan terbabit dalam program Kepolisan Moden.

Kepolisan moden kekang jenayah

Konsep kepolisan moden yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) menerima reaksi positif penduduk setempat.

Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI, Abdul Hafiz Abu Bakar, 61, berkata prestasi ditunjukkan anggota Balai Polis TTDI amat memuaskan, sekali gus berjaya menurunkan tahap kebimbangan masyarakat setempat terhadap kejadian jenayah.

KESELAMATAN diri serta keluarga di tempat awam lebih terjamin ekoran usaha kerajaan mewujudkan persekitaran lebih selamat.

“Walaupun jenayah masih berlaku, namun berada pada tahap terkawal berbanding sebelum ini. Rekod jumlah atau statistik jenayah disimpan polis, jadi saya tidak dapat menunjukkan jumlahnya, tetapi berdasarkan pemerhatian keseluruhannya menunjukkan penurunan.

“Malah perkhidmatan yang diberikan anggota polis juga amat memuaskan termasuk ketika berada di kaunter balai,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di TTDI, di sini, pagi semalam.

Abdul Hafiz berkata, setiap bulan pihaknya bersama polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) mengadakan pertemuan membincangkan situasi semasa.

“Kewujudan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta rondaan kereta peronda (MPV) yang menunjukkan kehadiran polis di kawasan perumahan membuatkan penduduk lebih selesa dan yakin. Ia sekali gus menurunkan tahap kebimbangan penduduk di sini.

“Saya mempunyai pengalaman sendiri apabila terserempak beberapa lelaki dalam keadaan mencurigakan, apabila menghubungi polis, mereka tiba di lokasi dalam masa beberapa minit saja,” katanya.

Menurutnya, polis juga kerap melakukan sekatan jalan raya pada lokasi dan waktu berbeza sekitar TTDI.

“Secara keseluruhan konsep kepolisan moden yang diterapkan memberikan kesan positif kepada masyarakat selain menaikkan imej PDRM sendiri,” jelasnya.


Tags :

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp