Categories : Sukan

 

Rayzam Shah. – Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pemegang rekod kebangsaan 110 meter berpagar lelaki, Rayzam Shah Wan Sofian tekad untuk menampilkan aksi 120 peratus dalam usaha meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan datang, selepas memenangi perak pada Kejohanan Olahraga Anhalt 2017 di Jerman.

Atlet 29 tahun itu mencatat 13.84 saat untuk meraih perak pada saingan Final B, di belakang pelari Kuwait, Al-Yoha Yacoub yang merekodkan 13.59s, manakala gangsa milik pelari tuan rumah, Freimuth Rico dengan catatan masa 14.14s.

“Keadaan agak sukar kerana cuaca sejuk dan berangin selepas hujan selama seminggu di sini, dan semalam hujan baru berhenti sebelum kami berlari. Tiupan angin dari arah depan juga agak kuat dan sejuk, tetapi saya gembira kerana dapat kekalkan catatan 13.8s.

“Apa pun, yang penting ialah Sukan SEA… saya akan bagi 120 peratus untuk dapatkan balik emas itu,” kata pemenang pingat emas Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand itu.

Pada Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, beliau meraih perak selepas mencatat masa 13.97s, di belakang pelari Thailand, Jamras Rittide yang melakar 13.69s.

Bagaimanapun, keazaman untuk meraih emas terbukti tiga minggu lepas, apabila atlet kelahiran Sabah itu memadamkan rekod kebangsaan 13.73s yang direkodkan Nur Herman Majid pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun, dengan mencatat masa 13.67s pada Kejohanan Kurpfalz Gala di Jerman.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim juga yakin Rayzam berada pada prestasi terbaik untuk menyumbangkan pingat emas berharga buat negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur.

“Beliau adalah atlet yang matang dan seorang diri menjalani latihan di Lipzieg, Jerman selama dua bulan… terpaksa tinggalkan keluarga dan berjuang demi negara.

“Kita ada atlet lain yang diberi peluang ke Eropah bagi menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih yang bagus, tetapi bagi banyak alasan… inilah atlet-atlet yang kita gelar jaguh kampung dan malas,” katanya. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp