Categories : Sukan

 

KETUA Jurulatih Perlis, Razip Ismail. – Foto NSTP

KANGAR: Ketua Jurulatih Perlis, Razip Ismail berkata beliau sedia melepaskan jawatan sekiranya Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) tidak berpuas hati dengan khidmatnya.

Katanya beliau telah melakukan segala yang terdaya berdasarkan sumber yang ada untuk cuba melakar kemenangan bagi skuad Singa Utara itu.

“Saya melakukan segala-galanya termasuk menukar strategi, pemain dan merehatkan pemain import namun apakan daya, keupayaan mereka terhad dan pilihan yang ada pun terhad.

“Mereka (PFA) hendak jawapan tapi bila saya bagi jawapan, tidak pula diterima,” kata Razip kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas amaran PFA yang mahu menggugurkannya andai Perlis terus merudum dalam saingan Liga Perdana.

Dalam saingan menentang Terengganu semalam, Singa Utara tersungkur 1-2 di laman sendiri, sekali gus memberikan kekalahan kelima pasukan itu daripada tujuh perlawanan setakat ini.

Kekalahan semalam yang mengekalkan Perlis di tangga tercorot Liga Perdana dengan hanya dua mata, turut meletakkan kedudukan Razip seperti telur di hujung tanduk.

Prestasi buruk Perlis membangkitkan kemarahan sekumpulan peminat tegar Singa Utara yang bertindak menunggu Razip di luar stadium sebaik selesai perlawanan semalam.

“Penyokong harus memahami situasi Perlis yang kekurangan banyak sumber, khususnya pemain. Macam mana hendak menang dengan barisan pemain ini yang ditolak pasukan lain. Pemain ini pun sebenarnya tidak layak bertanding dalam Liga Perdana.

“Semua pemain utama musim lepas berhijrah menyertai pasukan lain. Jadi, saya harap sangat agar penyokong melihat secara menyeluruh. Jangan hanya lihat semuanya negatif apabila kalah,” kata Razip yang mengakui pernah mengemukakan masalah dihadapinya kepada pengurusan PFA.

Mengenai pemain import pasukan itu, Razip berkata ketiga-tiga mereka – Damion Delano Steward, Oh Kyu Bin dan Brandon Adams – masih terumbang-ambing mencari keserasian.

Malah katanya, beliau akan mengusulkan agar Stewart dan Oh digugurkan ketika jendela pertukaran pemain pada pertengahan musim nanti, selain mendapatkan pemain baharu tempatan untuk memperkukuh pasukan. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp