Categories : Semasa

 

IPOH: Kementerian Kesihatan akan melaksanakan projek perintis memasukkan sistem rekod imunisasi bayi dan kanak-kanak melalui MyKid bagi menukar sistem lama yang menyimpan rekod kesihatan bayi menggunakan buku.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata sistem baharu itu akan dimulakan di Putrajaya dalam masa terdekat pada tahun ini.

“Sistem (rekod imunisasi bayi dan kanak-kanak MyKid ) itu akan dapat menyelesaikan masalah kehilangan rekod maklumat pesakit terutama berkaitan imunisasi yang diterima dan akan memudahkan ibu bapa.

“Kita sememangnya ada mempunyai ruang kesihatan pada cip dalam MyKid, jadi melalui sistem ini kita akan memasukkan maklumat kesihatan berkenaan pesakit terus ke dalam MyKid.

“Sistem ini dapat menjimatkan kos kerajaan bagi menghasilkan buku dan sekali gus memudahkan pesakit selain data sebenar yang tersimpan di dalamnya akan kekal meskipun MyKid hilang,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jasamu Dikenang Budimu Ditatang Tahun 2017 dan turut menyampaikan sijil anugerah pesara Jabatan Kesihatan Perak di Dewan Bankuet Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Hassan Merican.

Dr Hilmi berkata, kaedah gunakan buku yang dibekalkan kepada ibu bapa untuk anak sebelum ini agak sukar dan memberi kesan kepada kanak-kanak atau bayi apabila rekod kesihatan hilang.

“Kadang-kadang ada ibu bapa yang terlupa hendak membawa buku ketika membuat rawatan dan buku tertinggal selepas berpindah dari satu negeri ke negeri lain mengakibatkan laporan berkenaan anak termasuk suntikan imunisasi tidak dapat dikenal pasti.

“Sebagai contoh, sebanyak 31 kes Difteria tahun lalu dan lima orang daripadanya meninggal dunia kerana didapati tidak mendapat imunisasi langsung atau tidak lengkap imunisasi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, KKM juga pada masa sama sedang dalam perancangan melaksanakan projek perintis aplikasi khas bagi temujanji rawatan kesihatan di klinik kerajaan di Seri Kembangan dan seterusnya akan dikembangkan di seluruh negara.

“Ia akan lebih interaktif, kita boleh membuat temujanji klinik menggunakan aplikasi ini tanpa perlu menunggu atau datang ke klinik seawal pagi semata-mata hanya untuk mengambil nombor giliran,” katanya

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp