Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menubuhkan satu pasukan petugas bagi menambah baik pengurusan senjata api susulan kes kehilangan senjata milik jabatan itu, awal bulan lalu.

RELA dalam kenyataan akhbar hari ini, berkata penubuhan pasukan itu bertujuan untuk melaksanakan beberapa langkah jangka pendek dan panjang dalam menambah baik pengurusan senjata RELA susulan insiden berkenaan.

Katanya, antara peranan pasukan petugas itu adalah mengkaji semula segala arahan termasuk manual pengurusan senjata api sedia ada.

“Ia turut menubuhkan pasukan naziran terdiri daripada pegawai RELA ibu pejabat, RELA negeri dan Pusat Latihan RELA Malaysia.

“Pasukan petugas itu juga bertanggungjawab melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap senjata api dan menambah baik stor penyimpanan senjata api,” katanya.

Selain itu, ia juga bertanggungjawab meningkatkan kemahiran anggota RELA dalam pengurusan persenjataan serta mengkaji keperluan jawatan tambahan bagi mengurus semua hal berkaitan senjata api.

BH sebelum ini melaporkan polis menahan enam individu di Kedah dan Perak selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti jual dan beli sebahagian daripada 44 laras senjata api milik Pasukan RELA daerah Selama, Perak, yang dikesan hilang sejak awal bulan ini.

Kegiatan ini terbongkar selepas Unit Penguat Kuasa Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan, Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman, melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan RELA, Wilayah Utara (PLRWU) di Sungai Petani, Kedah.

Hasil pemeriksaan mendapati semua senjata berkenaan didaftarkan atas nama Pasukan RELA Selama, sebelum satu pasukan khas dianggotai Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah ditubuhkan untuk siasatan lanjut.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp