Categories : Semasa

 

BERLIN: Seorang remaja ahli arkeologi amatur berusia 13 tahun menemui harta karun di Jerman yang mungkin dimiliki raja lagenda Denmark, Raja Harald Bluetooth yang berjasa membawa agama Kristian ke Denmark.

Penemuan itu dilakukan Rene Schoen dan pelajarnya, Luca Malaschnitschenko ketika melakukan pencarian harta karun menggunakan pengesan logam di pulau Ruegen, utara Jerman.

Pada mulanya mereka menganggap ia adalah kepingan aluminium tidak berharga. Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lebih teliti, mereka menyedari bahawa ia adalah kepingan perak, lapor media Jerman.

Perkhidmatan arkeologi negeri kemudian melaksanakan misi penggalian membabitkan kawasan seluas 400 meter persegi. Mereka mendapati harta karun itu mempunyai kaitan dengan Raja Denmark yang memerintah kira-kira tahun 958 hingga 986.

Antara barangan yang ditemui termasuk beberapa rantai pintal, mutiara, kerongsang, tukul Thor, cincin dan sehingga 600 keping duit siling dengan 100 daripada berusia lebih tua berbanding era Bluetooth.

“Harta karun ini adalah penemuan duit siling Bluetooth terbesar di wilayah selatan Laut Baltik dan ia amat penting,” kata ketua ahli arkeologi, Michael Schirren kepada agensi berita DPA.

Duit siling paling tua dalam penemuan harta karun itu adalah siling dirham Damsyik pada tahun 714 dengan yang paling baharu pada tahun 983.

Penemuan itu mencadangkan harta karun terbabit mungkin tertanam pada lewat 980-an dan ia juga berlaku ketika Bluetooth didapati melarikan diri ke Pomerania di mana beliau meninggal dunia pada 987.

“Ini adalah kes penemuan jarang yang disokong sumber sejarah,” kata pakar arkeologi Detlef Jantzen.

Bluetooth berjasa menyatukan Denmark. Raja kelahiran Viking itu turut berpaling tadah kepada agama lama Norse dan memperkenalkan Kristian terhadap negara Nordik. Namun, beliau terpaksa melarikan diri ke Pomerania selepas pemberontakan yang diketuai anaknya sendiri, Sven Gabelbart. – AFP

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp