Categories : Jenayah

 

ROBOT Unit Pemusnah Bom digunakan untuk memeriksa sebuah kereta yang didakwa mengandungi bahan letupan di Simpang Empat Bota Kiri manakala seorang lelaki yang bergari dan berpakaian seragam warna hijau dipercayai individu yang menjerit mengenai ancaman bom terbabit dibawa ke lokasi kejadian untuk membantu siasatan. – Foto L Manimaran

BOTA: Sebuah robot milik Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang didakwa terdapat bom di dalamnya di Simpang Empat Bota Kiri, di sini.

Unit berkenaan tiba di lokasi kejadian pada jam 4.30 petang sebelum robot berkenaan menghampiri kenderaan itu untuk memulakan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan awal menemui sebuah beg berwarna hitam sebelum ia dibawa keluar dari kereta terbabit. Bagaimanapun beg itu didapati tidak mengandungi sebarang bahan yang mencurigakan atau bahan letupan.

Tinjauan BH di lokasi kejadian mendapati persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh – Lumut berhampiran Bota Kiri ditutup sepenuhnya kepada kenderaan manakala orang ramai memenuhi kawasan sekitar untuk menyaksikan pemeriksaan oleh unit berkenaan.

Sehingga jam 6 petang tadi, robot berkenaan masih meneruskan pemeriksaan di bahagian bonet kereta untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian pada jam 11 pagi tadi, seorang lelaki mendakwa kereta Mercedes Benz itu mempunyai bom sebelum meninggalkan kereta terbabit di tengah-tengah jalan simpang empat itu dalam keadaan enjin masih dihidupkan dan pintu bahagian pemandu terbuka.

Suspek bagaimanapun ditahan polis beberapa jam kemudian dan dibawa ke lokasi berkenaan dengan tangan bergari.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp