Categories : Sukan

 

JESE Rodriguez. – Foto AFP

LONDON: Pengurus Middlesbrough, Aitor Karanka berkata dia cuba memujuk pemain sayap Jese Rodriguez untuk menyertai pasukannya selepas mencapai persetujuan secara pinjaman daripada Paris Saint-Germain (PSG).

Rodriguez, 23, yang menyertai gergasi Perancis itu daripada Real Madrid Ogos lalu, bergelut untuk mencipta nama dan makin kehilangan tempat selepas ketibaan Julian Draxler daripada Wolfsburg.

“Dia pemain yang saya sudah kenali sejak tujuh atau lapan tahun lalu. Saya tahu potensi dimilikinya. Dia boleh membawa sesuatu kepada pasukan ini jadi saya sedang meyakinkannya ketika ini,” kata Karanka.

Karanka turut mengesahkan bahawa perancang tengahnya Gaston Ramirez sudah membuat permohonan untuk berhijrah berikutan minat yang ditunjukkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City.

“Ia amat mengecewakan. Dia memanggil kami untuk mendapatkannya pada musim lalu, dia sudah menemui semula prestasi lama di sini dan kembali mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan Uruguay.

“Sebagai jurulatih dan individu saya amat kecewa. Tiada siapa lebih besar daripada pasukan. Jika kami tidak mendapat tawaran setimpal, dia akan kekal menjadi tonggak penting buat pasukan.” – REUTERS

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp