Categories : Hiburan

 

AHLI Sakura Band, Ali Ezzati Musavi Abd Malek atau lebih dikenali sebagai Ali, Muhammad Hamiff Johan atau dikenali sebagai Hanif, Melley Matius atau dikenali sebagai Mel dan Mohd Haikal Mohd Zainin atau dikenali sebagai Akai. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Buat kali pertama, operator perkhidmatan Rapid KL, Rapid Rail, memberi peluang kepada dua kumpulan tempatan iaitu Sakura Band dan 6ixth Sense mengelolakan acara Fiesta RapidRail.

Program yang mendapat kerjasama portal beli-belah dalam talian, Roopawan, itu berlangsung sepanjang bulan ini di Stesen LRT Ara Damansara.

Menerusi kenyataan dikirimkan kepada BH Online, jurucakap dua kumpulan itu, Shahrul Effendy, berkata kerjasama itu menunjukkan selebriti tempatan bukan saja fokus kepada bidang seni semata-mata, tetapi turut membabitkan diri dalam penganjuran acara berbeza.

“Kami berbangga apabila diberi kepercayaan sepenuhnya oleh pihak Rapid Rail untuk mengelolakan acara sebegini.

“Ia membuktikan selebriti tidak terus berada dalam zon selesa di bidang hiburan semata-mata. Acara ini juga dianggap sebagai batu loncatan buat mereka berkecimpung dalam perniagaan korporat,” katanya.

Dianjurkan pada setiap Sabtu dan Ahad, dari jam 10 pagi sehingga 10 malam sepanjang bulan ini, pesta berkenaan membabitkan penyertaan lebih 60 vendor, trak makanan dan gerai selebriti tempatan serta dimeriahkan dengan pelbagai persembahan hiburan.

Selain Sakura Band dan 6ixth Sense, artis yang terbabit dalam jualan gerai selebriti ialah Alvin Chong, Anis Al Idrus, Bunkface, Wak Doyok, Fiza Sabjahan, Hazreena dan Bob Ringgo.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Ir Zohari Sulaiman, berharap acara yang dianjurkan buat julung kali itu akan membuahkan hasil memberangsangkan.

“Fiesta RapidRail yang dianjurkan di Stesen LRT Ara Damansara ini adalah inisiatif kami untuk mempromosi dan menceriakan stesen LRT supaya menjadi tempat tarikan, selain hentian setempat bagi orang ramai berinteraksi serta melaksanakan aktiviti komersial.

“Usaha ini diharapkan dapat menarik lebih ramai orang awam menggunakan perkhidmatan LRT, yang disediakan oleh kerajaan untuk kemudahan rakyat,” kata Zohari.

Perkembangan terkini Fiesta RapidRail 2017 boleh diikuti di laman Facebook @rapidrailfiesta atau Instagram @rapidrailfiesta.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.myrapid.com.my atau mengikuti Facebook @myrapid, Instagram @myrapidkl dan Twitter @myrapidkl.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp