Categories : Semasa

 

NILAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), mensasarkan 2,000 peserta Coca-Cola Komuniti Usahawan via KPDNKK, menjadi usahawan berjaya menjelang tahun 2020.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ketika ini terdapat seramai 15,000 pelajar daripada 14 universiti awam (UA) dan 5,000 usahawan wanita luar bandar menyertai program yang dilancarkan pada April lalu.

Katanya, program itu bertujuan melatih peserta dengan pelbagai latihan termasuk cara memulakan perniagaan, menyimpan rekod perniagaan, mengurus pendapatan, memasarkan produk dan cara mengembangkan perniagaan.

“Kerjasama ini diharap dapat membantu memberi latihan yang sepatutnya kepada peserta, seterusnya melahirkan usahawan yang berjaya dalam pelbagai perniagaan yang diceburi,” katanya pada sidang media selepas melawat Kilang Coca-Cola Bottlers di Bandar Enstek di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agong dan Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottling Investment Group Singapore-Malaysia-Brunei, Gareth McGeown.

Hamzah berharap, program itu dapat memberi inspirasi serta memperkasakan wanita luar bandar terutamanya, untuk menjadi usahawan.

Sementara itu, McGeown berkata, program Coca-Cola Komuniti Usahawan adalah sebahagian daripada pelaburan kilang itu di negara ini, dalam usaha melengkapkan peserta dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memaksimumkan sumber pendapatan.

“Apa yang kami harapkan daripada program untuk komuniti ini adalah untuk meningkatkan pendapatan mereka, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pelaburan semula kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, program itu juga adalah sebahagian misi global Coca-Cola, bagi membolehkan ekonomi lima juta usahawan wanita diperkasakan menjelang 2020 melalui inisiatif ‘5by20’.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp