Categories : Jenayah

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan empat pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM13 juta berhubung pembekalan geotube bagi kerja-kerja pemulihan sungai.

Penahanan suspek berusia antara 33 dan 63 tahun itu dilakukan SPRM dalam operasi yang dilancarkan serentak yang dilancarkan di beberapa lokasi di Johor, Melaka dan Seremban, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Antara mereka yang ditahan dari JPS adalah Pengarah Bahagian Projek Khas, Jurutera tempatan, jurutera tapak dan penolong jurutera.

Mereka ini dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembekalan geotube bagi kerja-kerja pemulihan sungai dengan menggunakan kaedah penggalian (Dredging and Excavation).

Sumber berkata, kesemua mereka disyaki telah bersubahat dengan Tan Sri tersebut yang merupakan pemilik syarikat yang dilantik untuk membekalkan alat geotube untuk projek JPS.

“Suspek mengemukakan invoice berjumlah hampir RM 13 juta bagi pembekalan sebanyak 358 unit geotube sedangkan pembekalan yang dibuat hanya sebanyak 89 unit yang bernilai sekitar RM4 juta sahaja.

“Salah laku dan menyalahgunakan kedudukan mereka bagi kepentingan diri sendiri mengakibatkan kerugian hampir RM9 juta kepada kerajaan,” kata sumber.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kemungkinan lebih ramai lagi dijangka ditangkap pada masa terdekat.

Kesemua mereka dijangka dihadapkan ke mahkamah majistret Putrajaya esok untuk direman bagi membantu siasatan mengikut seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp