Categories : Hiburan

 

SERINA Redzuawan kini dalam proses menuntut cerai daripada suaminya, Gavin Edward O’luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar.

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tujuh tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Serina Redzuawan, 34, kini dalam proses menuntut cerai daripada suaminya, Gavin Edward O’luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar.

Perkara itu disahkan sendiri bapa aktres terbabit iaitu cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail, atau lebih dikenali sebagai Chef Wan menerusi akaun Instagram miliknya, beberapa jam lalu.

“Anak perempuan saya sedang memfailkan perceraian dan dia akan melalui beberapa prosiding untuk memperjuangkan hak dan keadilan.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu Serina yang memikul sepanjang enam setengah tahun menjalani perkahwinan yang tidak bahagia,” katanya.

SERINA enggan mengulas berhubungan kenyataan bapa menyalahkan suaminya sebagai punca keruntuhan rumah tangga mereka.

Chef Wan, 59, mendakwa perkahwinan anaknya retak berikutan sikap Gavin yang dikatakan tidak menjalankan tanggungjawab sepatutnya sebagai suami.

Malah, bagi menyelamatkan rumah tangga Serina, beliau turut menghulurkan nasihat mengenai pentingnya tanggungjawab memberi nafkah perbelanjaan setiap bulan kepada isteri.

Namun, katanya, nasihat itu tidak dihiraukan.

“Dalam mana-mana perkahwinan sekalipun, seorang isteri perlu dimanjakan suami, tetapi sayangnya anak saya bekerja teruk ke sana-sini mencari rezeki dan sebagai seorang ayah, sudah semestinya saya sedih.

“Bekas isteri saya pun menerima RM3,000 sebulan bagi perbelanjaan harian dan saya membelikannya sebuah apartmen.

“Cukuplah. Jika tidak mahu mendengar nasihat bapa mentua, saya rasa, sampai sini sahajalah. Saya percaya, Serina layak mendapat kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.

Chef Wan turut sedih dengan nasib kedua-dua cucunya, namun percaya perhatian dan kasih sayang dapat memberikan mereka kekuatan.

Sementara itu, Chef Wan berharap kenyataan yang dibuat di Instagram itu melenyapkan spekulasi mengenai keruntuhan rumah tangga anak perempuannya.

“Daripada mendapat spekulasi media yang bukan-bukan, lebih baik saya tampil membuat kenyataan dan menjelaskan perkara sebenar,” katanya sambil menyatakan selepas penjelasan itu, beliau tidak perlu melayan pertanyaan mana-mana pihak berkaitan isu terbabit.

Serina dan Salahudin bernikah pada 1 Januari 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef serta Isabella Saffiya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp