Categories : Jenayah

 

ALOR SETAR: Pemandu dan penumpang sebuah kereta berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terlangkup selepas terbabas ke dalam longkang di Jalan Lencong Barat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, kedua-dua mangsa Lim Jo Huat, 57 dan Lim Yu Yong, 52, terperangkap hampir setengah jam di dalam kereta berkenaan selepas semua pintu kenderaan terhalang dengan dinding longkang.

Kedua-dua mangsa dikatakan bernasib baik kerana paras air di dalam longkang itu tidak dalam, sebelum mereka berjaya dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat yang tiba di lokasi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.01 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja tiba di lokasi lima minit kemudian.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abdul Manaff Yusof bersama lima anggota, dengan dibantu jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa masih berada dalam kereta dan usaha terus dijalankan untuk mengeluarkan mereka yang masih terperangkap.

“Kedua-dua mangsa cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp