Categories : Hiburan

 

Penyampai radio, Shahrol Shiro, Zulin pada sidang media pengumuman Shahrol Shiro yang menyertai penyampai radio Suria FM di segmen Suria Pagi di Tropicana City Mall. – Foto Nurul Shafina Jemenon

PETALING JAYA: Pelawak, Shahrol Azizie, 33, dipilih sebagai penyampai baharu stesen radio, Suria FM, menggantikan Halim Othman, berkuat kuasa hari ini.

Shahrol, yang lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro, mengendalikan segmen Suria Pagi dari jam 5 hingga 10 pagi, bergandingan dengan Zulin Aziz dan Fizi Ali.

Beralih ke stesen baharu selepas kontraknya bersama Era FM tamat, Shahrol berkata, tawaran yang diterimanya sejak awal Julai memberikan peluang kepada beliau untuk terus terbabit dalam bidang penyiaran radio.

“Sebelum menerima tawaran ini, saya ada meminta pandangan keluarga dan rakan. Saya membuat keputusan menyambut peluang yang dihulurkan ini kerana saya memang mahu berada dalam bidang penyiaran.

“Ketika bekerja dengan Tauke dan Dina dulu, kami tidaklah mempunyai masalah besar. Sekadar perselisihan faham dari segi kandungan adalah perkara biasa. Cuma, kontrak saya bersama ERA selama dua tahun sudah tamat,” katanya.

Mengenai gandingan baharunya, Shahrol yang ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai penyampai baharu Suria di sini, hari ini berkata, beliau pernah bekerja dengan Zulin sebelum ini.

“Inilah kali pertama saya bergandingan dengan Fizi dan saya yakin kami akan mudah serasi apabila ke udara,” katanya.

Menyentuh tugasnya menggantikan tempat Halim, pelawak itu mengakui ia tanggungjawab yang besar, apatah lagi penyampai berpengalaman itu sudah pun mempunyai nama dan pengikut sendiri dalam arena penyiaran.

“Pada awalnya, memang saya berasa seperti memikul beban besar apabila menggantikan nama besar seperti Halim, tetapi apabila masuk ke konti pagi tadi, Alhamdulillah, ia berjalan dengan lancar,” katanya.

Mengenai penggunaan khidmat pelawak di konti radio pula, Shahrol berkata, ia bukanlah sesuatu yang asing lagi dalam dunia penyiaran masa kini.

“Cuma, sebagai penyampai kita kena ada ilmu dan tahu apa yang kita bualkan. Kita juga bukan berlawak kosong, sebaliknya ia hiburan yang mempunyai mesej dan pendengar mendapat sesuatu faedah daripadanya,” katanya.

Selain mereka, Suria FM turut diperkuatkan beberapa penyampai lain seperti DJ Lin, Brian Chen, Bob Ringgo, Tyzo dan Suraya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp