Categories : Hiburan

 

ISTERI Shahrol (Shiro) selamat melahirkan anak lelaki Rabu lalu.

KUALA LUMPUR: Isteri pelawak dan pengacara, Shahrol Shiro, Anna Danisha, selamat melahirkan anak lelaki pada jam 9.36 malam Rabu lalu, di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang, Johor.

Shahrol memaklumkan berita gembira itu kepada pengikut laman Instagramnya, beberapa jam lalu.

Kata Shahrol, anaknya dilahirkan lebih awal iaitu ketika kandungan berusia 35 minggu, namun proses kelahiran berjalan lancar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur isteri dan anak sihat walaupun kami sedikit kelam-kabut apabila anak dilahirkan lebih awal.

“Kelam-kabut juga dibuatnya kerana dari hospital swasta kami bertukar ke hospital kerajaan kerana kemudahan mereka lebih lengkap bagi menyambut kelahiran bayi pramatang,” katanya kepada BH Online.

Shahrol berasa bertuah apabila diizinkan berada di samping isteri ketika proses kelahiran.

Dia turut meluahkan kesyukuran kerana anaknya tidak perlu dimasukkan ke dalam inkubator seperti kebanyakan bayi pramatang berikutan beratnya mencukupi.

Ketika ini, bayi sulung mereka itu belum diberikan nama.

Shahrol atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi, 32, mendirikan rumah tangga dengan Anna atau Nor Farhanah Syamimi, 27, pada 19 Mac tahun lalu.

Pelawak itu mempunyai seorang lagi anak, Muhd Adam Danish, 8, hasil perkahwinan terdahulu pada 2008.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp