Categories : Hiburan

 

DATUK Sheila Majid bersama keluarga. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Tradisi seisi keluarga berpakaian sedondon pada 1 Syawal diteruskan penyanyi disegani, Datuk Sheila Majid pada Aidilfitri kali ini.

Menariknya, sempena kemunculan album Boneka, Sheila memilih rona merah yang menjadi warna tema bingkisan produk terbaharunya itu.

“Tahun lalu, keluarga saya mengenakan pakaian warna aqua marine. Tahun ini pula, rona merah menjadi pilihan.

“Ini sejajar dengan kemunculan album baru saya, Boneka yang bertemakan merah. Tak kisahlah bagaimana rekaannya, asalkan warna yang dipilih adalah merah,” katanya kepada BH Online.

Tambah Sheila, pemilihan warna seragam tampak cantik dan melambangkan hubungan erat seisi keluarga.

“Senang bila pakai baju warna sama sebab kalau pergi beraya, kita boleh kenal mana satu anggota keluarga.

“Kalau nampak warna merah itu, memang sah anak-anak buah saya,” katanya sambil ketawa.

Sheila berkata, dia sentiasa menerapkan budaya hormat-menghormati dan kunjung-mengunjung kepada semua anak-anak apatah lagi apabila menyambut Aidilfitri.

“Saya selalu pesan pada anak-anak dan anak-anak saudara supaya jangan dilupakan budaya bersalaman dan memohon maaf.

“Kalau ada tetamu, pergi salam. Mereka juga kena ikut beraya ke rumah saudara mara. Tak mahulah nanti berlaku kejadian tak kenal saudara sendiri jika terserempak di tengah jalan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp