Categories : Jenayah

 

DATUK Mustafar Ali ketika sidang media selepas memenangi anugerah Perkhidmatan Imigresen Lapangan Terbang Terbaik Dunia SKYTRAK di KLIA, Sepang. – Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Jabatan Imigresen Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung kes rasuah membabitkan 11 anggotanya yang direman tujuh hari di Petra Jaya, Sarawak, hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya tidak bertolak ansur dengan mana-mana anggota yang terbabit dalam rasuah, salah guna kuasa atau melanggar undang-undang negara.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan berkaitan tuduhan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) itu masih dijalankan.

Katanya, sebagai langkah jangka panjang, Jabatan Imigresen mengadakan program transformasi modal insan melalui latihan minda bagi memperkukuhkan integriti anggota dan dijadikan suatu kemestian di jabatan terbabit.

“Saya memberi amaran kepada pihak luar supaya tidak mencabar integriti anggota Jabatan Imigresen dengan menawarkan apa juga suapan bagi mempercepat perkhidmatan ataupun perkara yang menyalahi undang-undang.

“Sekiranya ini berlaku, Jabatan Imigresen tidak akan teragak-agak bertindak mengikut undang-undang,” kata pada sidang media sempena penganugerahan Perkhidmatan Imigresen Lapangan Terbang Terbaik Dunia SKYTRAK di pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Semalam, 11 anggota Jabatan Imigresen berusia antara 33 hingga 55 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan iaitu di Ibu Pejabat Imigresen Sarawak, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Depoh Tahanan Imigresen Serian dan Pejabat Imigresen Pending.

Sementara itu, Mustafar berkata, anugerah yang diterima pada 14 Mac lalu di Passenger Terminal Expo Amsterdam, Belanda itu adalah pencapaian tertinggi kali keempat di peringkat dunia oleh Jabatan Imigresen.

Pengiktirafan itu, katanya, mencerminkan tahap perkhidmatan tinggi Jabatan Imigresen, selaras dengan slogan Integriti Profesional Mesra yang diterapkan jabatan itu.

“Kita akan cuba mengekalkan kemenangan ini dengan berbincang bersama pihak yang terbabit bagi menjaga mutu dan kemudahan di KLIA serta lapangan terbang lain di negara ini,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp