Categories : Jenayah

 

ANTARA kenderaan mewah yang dirampas daripada suspek penipuan skim pelaburan minyak sawit.

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menahan seorang ahli sindiket skim pelaburan minyak sawit yang memperdaya orang ramai membabitkan kerugian RM31 juta.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 35 tahun yang juga individu penting dalam skim dikenali sebagai ‘Crude Palm Oil (CPO)’, dilakukan di Lembah Klang, semalam hasil maklumat dan risikan selepas menerima 248 laporan daripada orang awam yang menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.

Sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu dipercayai didalangi seorang lelaki bergelar ‘Datuk’, menawarkan pelaburan berasaskan jual beli minyak sawit dengan menjanjikan pulangan dividen sehingga 30 peratus, berdasarkan pakej yang diambil.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata dalam serbuan berakhir jam 7 pagi tadi, pihaknya merampas tiga buah kereta mewah jenis Nissan GTR, Lamborghini Avantado dan Porsche Panamera serta dua motosikal jenis BMW GS R1200 dan Harley Davidson Fatboy.

Katanya, turut dirampas adalah wang tunai RM53,035 dan mata wang rupiah 18.8 juta (RM6,230) selain geran kenderaan dan tanah.

“Lelaki yang ditahan itu adalah anak kepada suspek utama dan berperanan mengendalikan wang syarikat pelaburan terbabit.

“Terdapat empat pakej ditawarkan kepada pelabur, iaitu satu tan metrik; dua tan metrik; lima tan metrik dan 10 tan metrik dengan jumlah bayaran antara RM1,855 hingga RM16,422. Pembayaran dividen pula dijanjikan setiap 12 hari bekerja setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada peringkat permulaan, sindiket membayar jumlah dividen dijanjikan bagi meyakinkan pelabur namun, sebaik pelaburan itu berkembang dan jumlah yang dilaburkan juga meningkat sindiket bertindak menutup operasi syarikat dan melarikan diri.

“Suspek direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 kerana menipu. Selain itu, tindakan akan turut diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Acryl Sani mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan dan membuat semakan dengan agensi kerajaan sekiranya ditawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp