Categories : Hiburan

 

Datuk Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Datuk Siti Nurhaliza menunaikan janjinya dengan menyanyikan lagu, Hang Pi Mana, dendangan asal kumpulan Khalifah, selepas pasukan bola sepak Pahang tewas kepada Kedah dalam pertandingan Piala FA.

Dalam perlawanan akhir di Shah Alam, Sabtu lalu, Kedah menundukkan Pahang, yang juga negeri kelahiran Siti, dengan jaringan 3-2.

Lagu popular berkenaan didendangkan penyanyi tersohor itu di stesen radio Era FM, pagi tadi.

Malah, ketika berlangsungnya majlis jamuan bersama kelab peminatnya, Siti Zone, di ibu kota, semalam, aksi Siti menyanyikan lagu terbabit turut dirakamkan peminat dan wakil media.

“Sekalipun lahir di Pahang, separuh badan saya kini kiranya sudah ada darah Kedah kerana suami (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa) dari negeri berkenaan.

“Jadi, bab usik-mengusik dengan suami itu perkara biasa apabila membabitkan perkara berkaitan negeri masing-masing, termasuklah ketika Kedah dan Pahang diumumkan berentap pada peringkat akhir Piala FA.

“Kebetulan juga Siti dan seorang teman berkahwin dengan orang Kedah. Tambahan pula kami berempat aktif berbasikal dan mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri. Kecoh jugalah dalam kumpulan itu kerana Piala FA. Masing-masing nak menuntut hadiah, jika negeri sendiri menang.

“Akhirnya Siti turut bergurau, kalau Kedah menang dan Pahang tewas pada perlawanan itu, Siti kena nyanyi lagu Hang Pi Mana. Nampaknya Siti kenalah tunai janji,” tuturnya.

Dalam pada itu, Siti meluahkan kesyukuran album studio ke-17 beliau, SimetriSiti, mendapat maklum balas positif.

“Siti juga bersyukur kerana berpeluang mempromosikan lagu daripada album ini pada beberapa acara.

“Pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH 3.0, baru-baru ini, Siti menyanyikan lagu Segala Perasaan. Kemudian pada konsert Aubrey Suwito & Friends di Dewan Filharmonik Petronas, Sabtu lalu, Siti mempersembahkan Bersandar Cinta.

“Malam tadi, Siti berpeluang pula menyanyikan lagu, Aku Bukan Malaikat, pada pertandingan akhir Gema Gegar Vaganza. Jadi secara tidak langsung banyak lagu dapat dipromosi dan diperkenalkan kepada peminat.

“Alhamdulillah, permintaan untuk album ini di pasaran cukup menggalakkan. Malah, ada kedai muzik yang memaklumkan mereka sudah kehabisan stok album berkenaan,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp