Categories : Sukan

 

ATLET Program Kita Juara 2017 (dari kiri) Nurul Izzatul Hikmah Md Zulkifli, Siti Nor Zubaidah Che Ab Wahab (Sepak Takraw Wanita), Mohd Syahir Rosli dan Zuleffendi Sumari (Sepak Takraw), Mohd Faiz Roslan (kiri) dan Ab Muhaimi Che Bongsu (Chinlone) memberikan pose istimewa selepas sidang media Program Kita Juara 2017 di Majlis Sukan Negara hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan chinlone negara yakin kilauan emas pertama kontinjen negara pada edisi ke-29 Sukan SEA di Kuala Lumpur, 16 Ogos ini akan hadir menerusi sukan tradisi Myanmar itu.

Sasaran itu diletakkan kepada pemain yang akan menyertai acara 1 dan juga 3 dengan masing-masing pernah menyumbang pingat perak dan gangsa pada Sukan SEA Singapura 2015.

Jurulatihnya, Yusof Abdullah yakin kehadiran bekas jurulatih Myanmar, Khin Maung Win Jumaat ini bakal memperkuatkan lagi persiapan negara bagi menghadapi temasya dwi tahunan itu.

“Kami baru saja pulang berlatih dan menyertai kejohanan pendedahan di Myanmar dan di situ pasukan berjaya meraih pingat emas,” kata Yusof dalam sidang media Kita Juara, di sini, hari ini.

“Kami menyasarkan pingat dalam acara 1 dan 3 kerana kita ada memperoleh pingat menerusi acara itu di Singapura. Jadi, kami berharap pasukan chinlone dapat menyumbang emas pertama negara dan harap emas itu dapat menaikkan semangat Malaysia untuk menjadi juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Ditanya faktor utama menjadi punca utama keyakinan itu, Yusof berkata, dalam kedua-dua acara itu, Myanmar tidak menyertainya kerana negara luar hanya boleh menyertai dua acara saja daripada empat dipertandingkan.

“Tuan rumah boleh menyertai semua acara manakala (negara) luar hanya dua saja. Selain itu seperti acara 3, ia tidak akan disertai Myanmar jadi peluang untuk mendapatkan emas itu ada,” kata Yusof yang meletakkan Thailand dan Kemboja sebagai pesaing utama.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp