Categories : Sukan

 

KUALA LUMPUR: Skuad futsal negara mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila berkenduri gol dengan membelasah Laos 13-1 pada aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan Futsal AFF di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Chiew Chun Yong mendahului saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata daripada dua perlawanan.

Myanmar yang menewaskan Indonesia 6-3 dalam satu lagi aksi kumpulan di tempat kedua, juga mengumpul enam mata tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan dengan skuad negara.

Kedua-dua pasukan akan bertarung esok bagi penentuan juara kumpulan.

Skuad negara menunjukkan taring sebenar pada babak pertama apabila mendahului tujuh gol sebelum melengkapkan empat lagi gol pada babak kedua.

“Pemain lakukan tugas dengan baik. Saya cuba beberapa taktikal sebelum aksi dengan Myanmar esok. Nyata pemain berjaya lakukannya dengan baik.

“Myanmar semakin baik. Tetapi kita akan lihat daripada semasa ke semasa, bagaimana corak permainan yang akan digunakan nanti.

“Sudah pasti kita akan beraksi bermati-matian bagi mengekalkan momentum pasukan sebelum aksi separuh akhir nanti,” kata Chun Yong.

Ridzwan Bakri melakar hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ketujuh, sembilan dan 17, Akmarulnizam Idris (1, 32), Khairul Effendy Bahrin (2, 23) dan Abu Haniffa Hassan (10, 16) serta masing-masing satu gol Azri Rahman (24), Syed Aizad Daniel Syed Nasir (29), Awaluddin Hassan (36) dan Awalludin Mat Nawi (40).

Gol sagu hati Laos dijaringkan Khampha Phipakkhavong pada minit ke-29.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp