Categories : Sukan

 

DATUK Ow Soon Kooi di .- Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Datuk Ow Soon Kooi meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang disandangnya sejak dua tahun lalu berkuat kuasa, hari ini.

Perkara itu disahkan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal yang mengakui sudah menerima surat peletakan jawatan Soon Kooi pagi tadi biarpun berat untuk melepaskannya.

Katanya, pihaknya menghormati keputusan Soon Kooi bagi melepaskan jawatan yang disandang, atas alasan faktor kesihatan dan mendoakan agar kesihatan bekas kapten pasukan negara itu segera pulih.

“Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MHC, Logan Raj bahawa dia telah menerima surat peletakan jawatan Datuk Ow pada pagi tadi.

“Itu adalah keputusan beliau dan kami juga tidak dapat menghalang kerana beliau memberikan faktor kesihatan sebagai faktor utamanya berundur.

“Beliau telah membantu saya selama ini bagi meningkatkan kualiti hoki di negara ini dan kami di MHC mengucapkan terima kasih atas sumbangannya,” katanya ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi.

Soon Kooi adalah antara tujuh Naib Presiden MHC yang memenangi jawatan berkenaan dalam pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 13 Mei 2015 bagi penggal 2015-2018.

Keputusan Soon Kooi untuk melepaskan jawatannya dalam semua posisi MHC pasti mengejutkan arena hoki tempatan selepas skuad Malaysian Tigers baharu saja meraih slot ke Piala Dunia 2018 di India.

Bagaimanapun, bagi Subahan misi ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetap perlu diteruskan dan beliau akan memikirkan pengganti yang sesuai untuk jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan yang disandang Soon Kooi sebelum ini.

“Bagi saya, semua jawatan dalam MHC amat penting dan saya akan memikirkan individu sesuai bagi menggalas jawatan terbabit,” katanya.

Usaha untuk menghubungi Soon Kooi bagaimanapun gagal.

Sepanjang dua tahun memegang jawatan itu, banyak perubahan positif dibawa Soon Kooi termasuk ideanya merombak barisan kejurulatihan negara dengan membawa masuk semula Stephen Van Huizen bagi skuad lelaki dan melantik Dhaarma Raj Abdullah sebagai jurulatih skuad wanita.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp