Categories : Sukan

 

bhsukan@bh.com.my 

SPASOJEVIC tidak kisah siapa kapten Melaka United. – Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Ketika saingan tidak sampai beberapa jam menjelang aksi pertama Melaka United (MU) berdepan Selangor di pentas Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini, penjaring terbanyak Liga Perdana 2015, Iiija Spasojevic tidak memikirkan siapa bakal memakai lilitan kapten skuad berkenaan.

Baginya, siapa sahaja kapten tidak menjadi isu besar walaupun pada perlawanan pramusim sebelum ini dia sering menjadi jeneral padang skuad terbabit termasuk ketika berdepan pasukan Liga Super, FELDA United di Stadium Hang Tuah.

Selain namanya, beberapa pemain lain yang tersenarai mengetuai skuad berkenaan termasuk kapten skuad kebangsaan Amri Yahyah yang dikatakan menjadi pilihan untuk mengetuai skuad Hijau Putih musim ini.

Spasojevic berkata dia sedia menggalas tugasan berkenaan pada aksi pembukaan malam ini, namun terserah kepada jurulatih untuk memilih siapa yang diberi peranan terbabit.

“Fokus kami hanya mahu membawa pulang tiga mata bertemu skuad The Red Giants yang garang pada aksi pembukaan berdepan Pulau Pinang di gelanggang sama minggu lalu.

“Walaupun pada mulanya pasukan Selangor dilihat berdepan pelbagai masalah, namun semua itu bukan halangan buat mereka meraih tiga mata menewaskan Pulau Pinang 2-0.

“Kejayaan mereka seharusnya diberi perhatian serius untuk memberi tekanan kepada lawan sebelum kami mampu meraih kemenangan,” katanya.

Baginya, bukan tugas mudah untuk menewaskan skuad Merah Kuning namun dia yakin gandingan yang serasi mampu membuahkan hasil yang memberangsangkan walaupun beraksi di gelanggang lawan.

Beliau berkata, selepas agak kecewa tidak dapat bermain pada perlawanan berdepan Kelantan yang dijadualkan Sabtu lalu akibat ditunda, namun ianya bukan halangan buat pemain mencipta sentuhan bertenaga kali ini.

“Kami anggap penundaan perlawanan terbabit memiliki rahmat tersembunyi untuk kami menyerlah dalam pertemuan malam ini.

“Saya juga tidak kisah digandingkan dengan siapa sahaja di posisi serangan berikutan apa yang penting kami serasi untuk meneroka kubu lawan dan memburu jaringan,” katanya.

Penjaring terbanyak Liga Perdana 2015 itu berkata, dia juga tidak mengira siapa yang menghasilkan jaringan termasuk pemain di posisi tengah walaupun pertahanan, berikutan yang paling utama adalah meraih kemenangan.

Katanya, pertemuan sulung di pentas Liga Super berkenaan juga bakal menguji skuad Hijau Putih yang kali pertama beraksi di liga berprestij terbabit tambahan pasukan kali ini dibarisi ramai muka baharu.

Spasojevic berkata, dia juga mengharapkan perencanaan jurulatih Eric Willimas mampu diterjemahkannya dengan baik bersama rakan lain dalam usaha mengintai kutipan mata penuh.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp