Categories : Sukan

 

KETUA Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong bersalaman dengan tetamu ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Persatuan Penulis – Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Petaling Jaya, hari ini. – Foto Osman Adnan

PETALING JAYA: Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras tidak akan digunakan sebagai gelanggang perlawanan bola sepak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) kerana pelbagai masalah.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong, berkata keputusan itu diputuskan selepas Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali dan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan lawatan ke stadium berkenaan, dua minggu lalu.

“Justeru, FAM membuat keputusan kita tidak akan menggunakan stadium berkenaan kerana keadaan padangnya yang teruk dan tidak sesuai, malah kerja pembinaannya belum siap sepenuhnya dan boleh menjejaskan keselamatan orang ramai.

“FAM juga mencadangkan kita menggunakan Stadium Selayang, dan Stadium UiTM Shah Alam yang diletakkan sebagai ‘standby’ akan turut digunakan untuk perlawanan bola sepak sempena temasya Sukan SEA nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Persatuan Penulis – Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini, hari ini.

Berikutan itu, Zolkples berkata pihaknya kini sedang meneliti semula jadual perlawanan supaya ia tidak terjejas dengan penukaran gelanggang berkenaan.

Beliau juga mengesahkan semua perlawanan membabitkan pasukan Malaysia akan diadakan di Stadium Shah Alam, bagi membolehkan ia disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

Dalam pada itu, Zolkples mengesahkan lebih 1,000 wakil media tempatan dan asing sudah mendaftarkan diri untuk membuat liputan KL2017 bermula 19 hingga 30 Ogos nanti.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp