Categories : Sukan

 

KUALA LUMPUR: Taekwondo Malaysia (TM) yakin dapat mencapai sasaran meraih empat pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 pada 19 hingga 31 Ogos ini.

Pengerusi Teknikal TM, R Dhanaraj juga yakin skuad taekwondo negara juga berupaya menyumbangkan pingat kejutan, selepas menjalani latihan intensif di Korea Selatan, iaitu negara kelahiran sukan berkenaan

Katanya, daripada empat pingat emas itu, dua disasarkan dalam acara poomsae berpasukan lelaki dan pasangan campuran manakala dua pingat lagi dalam acara kyorugi, kategori feather weight lelaki (bawah 68kg) dan fly weight wanita (bawah 49kg).

Beliau berkata, Kejuaraan Taekwondo ASEAN di Perlis pada 24 hingga 26 Mac ini akan menjadi pemilihan atlet terakhir bagi mewakili skuad Sukan SEA negara.

“Sebelas atlet dihantar ke Korea Selatan pada Januari bagi menjalani latihan hingga minggu depan.

“Mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik dan setakat ini tiada yang mengalami kecederaan. Jadi kami berharap dapat menghasilkan pencapaian terbaik kali ini terutama kelebihan bertanding di tempat sendiri selaku tuan rumah.

“TM sangat komited, malah kami memperuntukkan wang sendiri untuk menghantar atlet kami menjalani latihan agar boleh menjadi pesaing pingat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selepas Kejuaraan Taekwondo ASEAN di Perlis, atlet taekwondo akan terbang semula ke Korea Selatan pada April bagi latihan kedua, sebelum mengambil bahagian dalam Kejohanan Taekwondo Dunia dari 24 hingga 30 Jun dan Terbuka Korea dari 7 hingga 9 Julai.

Sebanyak 16 pingat emas ditawarkan bagi Sukan SEA, yang dijangka diadakan dari 27 hingga 30 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA bagi sukan taekwondo ialah pada 2009 menerusi Che Chew Chan dalam kategori wanita bawah 73kg, manakala Sukan SEA di Singapura edisi dua tahun lalu, Malaysia hanya berupaya membawa pulang tiga pingat perak dan tiga gangsa.

BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp