Categories : Jenayah

 

KETUA Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid (kiri) bersama Inspektor M Ganesh (kanan) dan Konstabel P Vivegananthan yang tercedera semasa menjalankan tugas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. – Foto Amir Irsyad Omar

BUKIT MERTAJAM: Seorang penjenayah yang melarikan diri selepas mencederakan tiga anggota polis di sebuah premis hiburan di Jalan Pasar di sini, Sabtu lalu, ditahan polis petang tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang, suspek berusia 30 tahun dikesan bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Petani, Kubang Semang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata suspek yang juga seorang penagih dadah cuba bertindak agresif ketika anggota polis mahu menahannya.

Beliau berkata, suspek yang bersenjatakan parang kemudian melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah, namun terjatuh sebelum dapat ditahan.

“Pemeriksaan lanjut di rumah itu menemui beberapa senjata antaranya pedang samurai, parang, gergaji dan lima pucuk pistol tiruan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayahnya.

“Kita juga merampas sebuah motosikal yang disyaki dicuri berdasarkan laporan polis yang diterima baru-baru ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Nik Ros berkata, suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan dan rogol akan direman esok, selepas isterinya yang ditahan pada Sabtu lalu, direman hingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Suspek juga sudah mengaku mencederakan anggota polis dan dia juga didapati yang sangat berbahaya kerana senjata dan kelakuannya yang ganas,” katanya.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, Inspektor M Ganesh dan Konstabel P Vivegananthan yang cedera diserang suspek sudah kembali bertugas hari ini, manakala Konstabel Mohamad Khusairi Ahmad masih dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan keadaannya dilaporkan stabil.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp