Categories : Hiburan

 

HULU KLANG: Pengarah sensasi, Erma Fatima, lega apabila telefilem kontroversi, Pesan Dari Tuhan, dapat ditayangkan kepada penonton selepas dua tahun diperam.

Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 49, telefilem yang menampilkan ramai pelakon hebat itu akan ditayangkan pada 26 Jun menerusi saluran TV2, jam 2 petang.

“Selepas drama itu dibatalkan penyiarannya dua tahun lalu, saya memang tidak menayangkannya langsung di mana-mana stesen. Ada juga cadangan untuk memindahkan drama terbabit ke layar perak, namun hasrat itu belum terlaksana.

“Bagaimanapun, selepas membaca ‘posting’ yang dimuat naik oleh pelakon utamanya, Azhan Rani, mengenai drama terbabit, hati saya jadi tersentuh.

“Saya kemudiannya mengundang Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, untuk menontonnya, sekali gus meminta pandangan beliau. Alhamdulillah, beliau berminat untuk menayangkan drama itu di stesen RTM.

“Baru-baru ini pula, saya dapat tahu Pesan Dari Tuhan akan ditayangkan pada Hari Raya kedua, selain diulang tayang seminggu kemudiannya,” kata Erma kepada BH Online sewaktu ditemui pada majlis pratonton drama terbabit di Kafe Skrin, di sini, semalam.

Selain Azhan, turut hadir pada acara berkenaan ialah dua lagi bintang utamanya, Ellie Suriaty dan Izreen Azminda.

Erma turut meluahkan keterujaan apabila tiada babak babak penting dalam naskhah itu dipotong, sekali gus menyaksikan jalan ceritanya tidak terjejas.

Drama ini pernah mencetuskan kontroversi apabila ia gagal ditayangkan di kaca TV seperti diuar-uarkan kerana Erma tidak mengikut arahan stesen televisyen terbabit yang mahukan lapan babak dalam telefilem itu dipotong.

Drama terbitan terbitan Rumah Karya Citra itu mengisahkan perebutan kuasa dan harta pusaka oleh sebuah keluarga sehingga kampung mereka dilanda musibah.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp