Categories : Sukan

 

PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab. – Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Hampir semua negara peserta mengesahkan penyertaan dalam tiga disiplin sukan berbasikal pada Sukan SEA 2017 bulan depan, sekali gus memadam spekulasi liar mengenai dakwaan ada negara tertentu mahu memboikot.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) dalam satu kenyataan hari ini, berkata Timor Leste bagaimanapun menjadi satu-satunya negara tidak menghantar wakil bagi menyertai ketiga-tiga disiplin – lebuh raya, trek dan BMX.

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab, berkata Malaysia selaku tuan rumah serta Thailand dan Indonesia bakal menyertai semua 20 acara yang dipertandingkan pada temasya bermula 19-30 Ogos itu.

“Apabila Azizulhasni (Awang) mengesahkan kemungkinan dia hanya menyertai satu acara iaitu keirin pada Sukan Sea 2017, ramai yang membuat tanggapan kononnya ada negara di Asia Tenggara akan memboikot atau melakukan sabotaj.

“Keirin elit lelaki boleh diisytiharkan sebagai tidak sah sekiranya hanya dua negara menyertai acara itu. Sekiranya ini berlaku, peluang Azizulhasni untuk merangkul pingat emas akan berkecai dalam sekelip mata,” katanya.

Beliau menjelaskan, MNCF turut terharu dengan sokongan padu ditunjukkan Singapura kerana menyertai 18 acara, sekalipun negara jiran itu kebiasaannya sering menghantar jumlah pelumba terkecil pada temasya Sukan SEA sebelum ini.

“Singapura menyertai hampir semua acara kecuali BMX. Ini sangat memeranjatkan dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Singapura. Begitu juga ucapan terima kasih kepada Brunei yang menyertai 11 acara,” katanya.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) menegaskan, acara lepas beramai-ramai elit lelaki muncul acara paling popular kerana membabitkan penyertaan 10 negara Asia Tenggara kecuali Timor Leste.

“Ada 55 pelumba akan menyertai acara lepas beramai-ramai elit lelaki. Saya berasa sangat bangga kerana acara ini sememangnya sangat popular di rantau Asia Tenggara. Saya mengharapkan Malaysia akan menang pingat emas dalam acara ini.

“Acara kriterium pula menjadi kedua popular dengan penyertaan 50 pelumba dan kita akan berusaha keras untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu. Saya harap pelumba Malaysia tahu apa yang mereka perlu lakukan,” katanya.

Acara yang dipertandingkan dalam disiplin lebuh raya adalah kriterium, acara lepas beramai-ramai dan ujian masa berpasukan manakala BMX mempertaruhkan kategori elit lelaki dan wanita.

Sejumlah 13 acara dipertandingkan dalam disiplin trek iaitu pecut elit lelaki dan wanita, kejar-mengejar individu (L), kejar-mengejar berpasukan (L), 500 meter ujian masa (W), 1,000 meter ujian masa individu (L), keirin (L/W), pecut berpasukan (L/W), perlumbaan scratch (L) dan omnium (L/W).

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp