Categories : Sukan

 

INSIDEN kekecohan membabitkan penyokong Kelantan dan Perak di luar Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi. – Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah, menyifatkan insiden kekecohan membabitkan penyokong Kelantan dan Perak, malam tadi berpunca daripada sikap segelintir penyokong yang tiada rasa menghormati antara mereka.

Beliau berkata, insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku di antara penyokong kerana ia dapat mencemari sukan bola sepak di negara ini.

“Penyokong yang bertandang ke mana-mana stadium pasukan lawan sepatutnya lebih menghormati ‘tuan rumah’ dan perlu berbaik-baik antara satu sama lain.

“Bila pasukan mereka menang, penyokong boleh meraikan kemenangan itu, tidak salah pun tetapi perlu menjaga sensitiviti dan tidak menyinggung perasaan sehingga mencetuskan kekecohan…bila pasukan kalah pun kita perlu terima dan tak perlu rasa tidak puas hati kerana bola sepak ini adalah sukan dan bukan cari gaduh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yakult dan Keluarga The Red Warriors (TRW) di Tunjung Banquet, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada dan beberapa pemain TRW termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Norfarhan Mohamad, Norhafiz Zamani Misbah dan pemain import, Mamadou Danso.

BH Online semalam melaporkan berlaku kekecohan di luar Stadium Sultan Muhammad IV sebaik tamat perlawanan Liga Super antara Kelantan dan Perak.

Perlawanan yang berkesudahan pasukan The Bos Gaurus menang dengan keputusan 2-0 mencetuskan kekecohan selama 15 minit yang turut dicemari insiden membaling objek.

Difahamkan, punca pergaduhan itu bermula selepas penyokong Perak mengejek pasukan Kelantan susulan kekalahan itu.

Mengulas perkara sama, Muhammad Nasir berkata pihak persatuan bola sepak juga perlu lebih bertegas dengan menasihatkan penyokong agar lebih berdisiplin apabila berkunjung ke stadium luar.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp