Categories : Jenayah

 

TIGA ahli Geng 35 berusia 19 dan 20 tahun disambung reman selama tempat hari lagi di Mahkamah Sungai Petani. – Foto Omar Osman

SUNGAI PETANI: Tiga lagi remaja ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan kongsi gelap Geng 35, menjadikan semua yang ditahan berkait kes itu seramai 24 orang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, berkata ketiga-tiga pelajar terbabit berusia antara 14 hingga 17 tahun ditahan di sekitar Taman Ria Jaya di, sini, 1 tengah hari, semalam.

“Tiga pelajar yang ditahan kini direman sehingga 9 Mei bermula hari ini manakala tiga bekas pelajar yang reman mereka tamat hari ini disambung sehingga 10 Mei.

“Manakala 18 pelajar lagi masih dalam reman dan akan tamat esok dan sekiranya siasatan masih belum lengkap, permohonan lanjutan reman akan dilakukan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda tadi.

Khamis lalu, seramai 17 remaja majoritinya pelajar ditahan kerana disyaki terbabit gengsterisme dan kongsi gelap di daerah ini.

Penangkapan mereka susulan tersebarnya dua keping gambar menunjukkan sekumpulan lelaki dan pelajar beruniform sekolah meraikan penubuhan kumpulan ‘Satu Hati’ dengan memotong kek tertera angka dan logo kongsi gelap Geng 35.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitter miliknya turut mengucapkan syabas dengan penahanan pelajar yang terbabit dalam gengsterisme di Sungai Petani, selain menyatakan ramai lagi akan ditangkap.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp