Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Insiden terbaru membabitkan seorang pelajar tingkatan dua maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput, di Gemas, Negeri Sembilan semalam, menunjukkan aspek keselamatan di sekolah mesti dipertingkatkan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian berkenaan boleh dicegah jika pihak terbabit mengutamakan keselamatan pelajar.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. – Foto Surianie Mohd Hanif

“Pelajar tidak sepatutnya berada di kawasan berkenaan ketika kerja penyelenggaraan dilakukan dan begitu juga sebaliknya.

“Kejadian ini memberi pengajaran pentingnya keselamatan pelajar diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua tempat kerja mempunyai bahaya dan risiko tersendiri.

Menurut Lam Thye, guru dan pelajar perlu mengenal pasti perkara berkenaan serta mencegah kemalangan daripada berlaku.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ada beberapa laporan kemalangan di sekolah membabitkan guru, kakitangan dan pelajar, termasuk yang menyebabkan kematian,” katanya.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia berikutan cedera parah di kepala selepas terkena bilah yang melayang.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Abd Razak, dilaporkan berkata, dua pelajar iaitu Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, turut cedera.

Lam Thye berharap lebih banyak sekolah akan mengambil bahagian dalam Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan dan kesihatan.

“Sekolah yang selamat tidak bermakna bebas daripada masalah disiplin dan jenayah lain seperti penindasan, gangsterisme serta penyalahgunaan dadah.

“Ia juga mesti memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan selamat.

“Jika pendidikan keselamatan dipupuk dalam kalangan guru dan pelajar, mereka akan lebih sensitif melihat keadaan bahaya seperti kabel kuasa terdedah, tiang berkarat atau bahan kimia bocor,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp