Categories : Sukan

 

DATUK Rahman Lariwoo (dua kiri) dan jurulatih, Azmi Md Yunus (dua kanan) serta atlet tinju negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi (kiri) dan Mohd Fuad M.Redzuan (kanan) selepas sidang media Program Kita Juara 2017 di MSN Bukit Jalil. – Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Skuad tinju negara tekad untuk menggondol pingat di Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini selepas pulang dengan tangan kosong ketika temasya sama berlangsung di Singapura pada 2015.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Rahman Lariwoo, berkata semua pihak termasuk jurulatih dan atlet bersedia bagi menghadapi temasya dwitahunan itu malah akan melakukan yang terbaik bagi menjadi memastikan tinju tidak terus dilanda kekecewaan.

“Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Sukan SEA 2017 kerana sukan tinju sebelum ini di Singapura kita agak kecewa apabila tidak mendapat apa-apa pingat. Insya-Allah, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menyumbang pingat buat Malaysia.

“Dari segi latihan kita akan menggunakan khidmat jurulatih tempatan untuk membimbing dan melatih atlet dan saya yakin dengan kemampuan yang mereka miliki.

“Walaupun kita gagal mendapatkan khidmat jurulatih dari Cuba yang masih bersama Thailand, namun ia sedikit pun tidak menjejaskan perancangan kita, ” katanya pada sidang media Program Kita Juara 2017 di Majlis Sukan Negara (MSN), dekat sini, hari ini.

Rahman berkata, pada 28 April ini skuad tinju negara akan ke Uzbekistan bagi menghadapi Kejohanan Tinju Elit Asia ASBC, seterusnya berlatih di Kazakhstan bermula 2 Mei hingga 15 Julai sebagai persiapan terakhir sebelum ke Sukan SEA serta Sukan Perpaduan Islam Keempat di Baku, Azerbaijan pada 12 Mei.

Katanya, antara sebab pemilihan Kazakhstan ialah kerana ia sebuah negara yang melahirkan peninju yang baik malah sering kali menjadi pesaing untuk kejohanan peringkat antarabangsa dan Sukan Olimpik.

Beliau berkata, enam atlet dipilih mewakili negara untuk ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 membabitkan kategori 49 kilogram (kg), 52kg, 56kg, 64kg, 75kg dan 81kg.

Sementara itu peninju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan yang akan tampil buat kali kelima di Sukan SEA berharap proses undian akan memihak kepadanya sekali gus memudahkan laluan untuk mara ke final serta menggondol pingat emas buat negara dalam acara 49kg.

“Ini adalah Sukan SEA kelima saya dan saya pernah meraih pingat gangsa di Sukan SEA Myanmar pada 2013. Apa pun saya harap undian dapat memihak saya dan berharap dapat mengelakkan daripada bertemu atlet pilihan bagi memudahkan saingan,” katanya.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara tinju Sukan SEA adalah dua emas pada edisi 2009 di Laos menerusi Muhamad Farkhan Mohd Haron (75kg) dan Muhd Fairus Azwa dalam kategori 81kg.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp