Categories : Semasa

 

TPM menerima kunjungan hormat kepimpinan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang diketuai presidennya Ahmad Khawari Isa di Putrajaya, hari ini. – Foto NSTP

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) memainkan peranan proaktif dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) menerusi wadah penulisan sukan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, bidang sukan antara cabang yang perlu diberi perhatian dalam TN50 dalam usaha memastikan lebih banyak kejayaan dapat dilakar negara di pentas antarabangsa menjelang tiga dekad akan datang.

Lebih daripada itu, katanya, sukan juga sudah terbukti menjadi medium penting dalam menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Saya mengikuti laporan sukan dan saya dapati laporannya berbeza berbanding laporan berita lain dengan penulisan yang berseni serta menarik minat orang ramai membacanya.

“Justeru, saya meminta SAM meneruskan laporan yang berbeza dan menarik itu dalam membangkitkan semangat kenegaraan, kerjasama serta kekitaan terutama dalam menjayakan TN50,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat barisan kepimpinan SAM yang diketuai presidennya Ahmad Khawari Isa di pejabatnya, petang tadi.

Sementara itu, Ahmad Khawari berkata pihaknya akan mendokong dan memainkan peranan proaktif dalam menjayakan TN50 sebagaimana yang dimahukan Timbalan Perdana Menteri.

“Menerusi pertemuan SAM bersama Timbalan Perdana Menteri hari ini, beliau mahukan SAM turut memainkan peranan yang aktif dalam mendokong TN50.

“SAM juga berterima kasih atas kepercayaan TPM dan akan memainkan peranan kami di peringkat kepimpinan serta ahli SAM untuk memastikan peranan media sukan terutama dalam menyajikan laporan yang menciptakan semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai kunjungan hormat itu, Ahmad Khawari menegaskan matlamat utama adalah untuk menjemput Timbalan Perdana Menteri menjadi tetamu kehormat pada Majlis Anugerah SAM-100Plus yang juga acara kemuncak sempena Kongres Persatuan Penulis Sukan Asia (AIPS ASIA) yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, 27 Februari hingga 3 Mac ini.

“Alhamdulillah, TPM sudah bersetuju untuk hadir dan memberikan pesanan serta amanat khas kepada delegasi kongres yang hadir pada majlis kemuncak itu, 2 Mac nanti.

“Datuk Seri turut memuji usaha SAM yang mampu memastikan kehadiran delegasi 31 negara Asia yang menghadiri kongres itu nanti.

“Ini kali pertama Malaysia dan SAM menjadi tuan rumah kepada kongres ini dan InsyaAllah dengan sokongan daripada TPM, SAM percaya mampu untuk menghasilkan penganjuran yang baik,” katanya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp