Categories : Semasa

 

KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat berkata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump teruja menantikan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Rumah Putih di Washington pada 12 September ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan, semalam berkata, Najib akan membuat lawatan kerja ke negara itu atas jemputan Trump.

Wisma Putra berkata, Malaysia dan AS mahu meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala kedua-dua negara dan hubungan itu diperluaskan di bawah kepimpinan Najib dengan menjadikannya perkongsian lebih komprehensif berdasarkan kepentingan bersama.

Kedutaan AS turut menyiarkan gambar Trump, Duta Malaysia ke AS Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique dan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Zulkifeli Mohd Zin di Pejabat Oval Rumah Putih dalam Twitter itu.

Dalam perkembangan sama, Trump menzahirkan penghargaan negaranya kepada Malaysia yang membantu usaha mencari 10 anak kapal USS John S McCain yang hilang berikutan pelanggaran dengan sebuah kapal dagang di Johor, Isnin lalu.

“Presiden Trump menzahirkan penghargaan Amerika Syarikat atas usaha Malaysia mencari anak kapal AS yang jatuh daripada kapal perang USS John S McCain,” kata Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam Twitter @usembassykl.

USS John S McCain, sebuah kapal pemusnah peluru berpandu, berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC di Teluk Ramunia pada jam 5.30 pagi Isnin, menyebabkan lima anak kapal cedera dan 10 orang lagi hilang.

Malaysia menyertai usaha pencarian oleh pelbagai negara bagi mengesan anak kapal yang hilang itu di kawasan timur Singapura dan semenanjung Malaysia yang seluas kira-kira 900 batu nautika di sekitar lokasi asal pelanggaran itu.

Dalam perkembangan terbaru di laman webnya malam tadi, Armada Ketujuh Tentera Laut AS memaklumkan bahawa ia menggantung usaha mencari dan menyelamat sembilan anak kapal yang masih hilang di timur Selat Melaka dan Singapura, selepas ia menemui mayat seorang anak kapal. – BERNAMA

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp