Categories : Jenayah

 

JOHOR BAHRU: Seorang tukang masak lelaki maut selepas ditikam di perut dalam pergaduhan di sebuah premis kafe dan bakeri di Jalan Abdullah Tahir dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun itu ditikam oleh seorang pekerja premis berkenaan yang juga warga Myanmar sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata hasil siasatan polis mendapati suspek berusia 26 tahun itu menikam mangsa menggunakan sebilah pisau berukuran 14 inci (35.5 sentimeter) dalam kejadian yang berlaku di dapur premis berkenaan.

“Dipercayai berlaku pertengkaran antara mereka, selepas mangsa menegur suspek kerana terlalu lama berbual dengan teman wanitanya, menyebabkan lelaki itu naik berang dan menikam mangsa.

“Suspek kemudian melarikan diri bersama pisau itu menerusi pintu utama sebelum membuang (pisau) berkenaan ke dalam kolam hiasan di hadapan premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, mayat mangsa yang juga warga tempatan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini, untuk proses bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp