Categories : Hiburan

 

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ummi Nazeera, 27, mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan tunangnya yang hanya mahu dikenali sebagai Mr I selepas sambutan Aidilfitri tahun ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengumumkan tarikhnya buat waktu ini, sebaliknya akan berbuat demikian apabila tiba masanya nanti.

“Jika tiada aral melintang, insya-Allah kami bakal disatukan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

“Cuma saya belum bersedia mengumumkan tarikhnya lagi. Mana tahu, jika diumumkan, tarikhnya berubah pula. Apapun saya pasti akan berkongsi tarikh pernikahan kami pada umum nanti,” katanya kepada BH Online.

Ummi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama mini 12 episod, Chor & Chah, di sini, hari ini.

Drama kerjasama antara Suhan Movies dan SME Corp Malaysia itu yang turut menampilkan pelakon seperti Saharul Ridzwan, Hafreez Adam dan Luqman Hafidz akan disiarkan menerusi laman Youtube, Facebook, Twitter dan Instagram.

Berkongsi kisah perhubungannya dengan lelaki terbabit, Ummi menyifatkan tempoh pertunangan mereka banyak membuka peluang kepada masing-masing untuk lebih saling mengenali.

“Sebelum ini saya ingatkan dia seorang yang serius. Tetapi apabila mengenalinya dengan lebih mendalam, rupa-rupanya dia seorang yang kelakar.

“Alhamdulillah, tempoh pertunangan ini menjadi masa untuk kami mengenali antara satu sama lain, walaupun hanya sebulan sekali kami bertemu. Maklumlah, dia bertugas di sebuah hospital di Sarawak,” ujarnya.

Ditanya mengenai persiapan perkahwinan, Ummi berkata, beliau belum lagi memutuskan tema bagi majlis perkahwinannya itu.

“Setakat ini, ada beberapa konsep yang bermain dalam fikiran, tetapi saya belum memutuskan mana satu yang sesuai.

“Alhamdulillah, dengan melantik perancang perkahwinan, sedikit sebanyak ia memudahkan proses persiapan hari bahagia kami. Apatah lagi tinggal beberapa bulan saja sebelum majlis berlangsung,” tuturnya.

Pasangan ini ditunangkan dalam sebuah majlis tertutup pada 11 Disember tahun lalu. Kedua-duanya berkenalan menerusi ibu pemuda terbabit pada sebuah majlis, 29 Januari tahun lalu.

Carian Tronexus.rocks:

  • ismail izzani sekolah

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp