Categories : Semasa

 

“SAYA rasa pelik apabila tiba-tiba menerima banyak pesanan melalui Whatsapp bertanyakan keadaan saya,” kata Ishak Saari, 34, abang kepada Hasimah, 32, mangsa yang maut dalam kemalangan di Kampung Terap Batu 12, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian pada 12 tengah hari, suami Hasimah iaitu Azli Adzali, 46, dan bayi perempuan mereka Nuranis Umairah, 16 bulan, turut meninggal dunia manakala bapa Hasimah, Saari Man, 71, parah.

Ishak berkata, dia bergegas ke Bilik Forensik Hospital Kulim selepas menerima mesej bergambar Proton Satria yang dipinjamkan kepada adik iparnya terbabit dalam kemalangan.

Menurutnya, Azli datang ke rumahnya di Kulim pada 9 pagi tadi untuk meminjam kereta kerana mahu menziarahi jenazah ahli keluarganya di Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Saya tidak sempat berbual dengan arwah kerana ada kerja, dan hanya memberi kunci kereta kepada Azli yang terus ke KEDA Sungai Salleh, Serdang untuk menjemput isterinya serta bapa saya.

“Difahamkan, Azli membawa mereka pulang ke kampungnya di Seberang Perai untuk menziarah ahli keluarganya yang meninggal dunia hari ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Kulim.

Menurutnya, arwah Azli bekerja sebagai pemandu lori, manakala isterinya tidak bekerja dan tinggal bersama kedua ibu bapa mereka di KEDA Sungai Salleh.

Katanya, dia dimaklumkan kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Seberang Perai.

“Saya tidak sangka dalam sekelip mata kehilangan tiga anggota keluarga. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid KEDA Sungai Salleh, malam nanti,” katanya.

Penduduk Mazli Ahmad, 40, berkata ketika kejadian dia berehat di rumahnya yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat serta bunyi seretan dari arah jalan.

“Saya terkejut apabila melihat sebuah kereta berada di bahu jalan sebelah rumah, manakala sebuah lori terbabas ke dalam longkang di laluan bertentangan.

“Beberapa pemandu turut memberhentikan kenderaan untuk membantu dan menghubungi ambulans. Saya juga mendapati semua mangsa berada dalam kereta dan tidak sedarkan diri.

“Orang ramai cuba membantu mangsa di bahagian hadapan, namun gagal kerana tersepit lalu menghubungi pihak bomba untuk bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati lori terbabit dari arah Serdang menghala ke Kulim, manakala Proton Satria Neo dari arah bertentangan.

Katanya, kereta terbabit dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.

“Akibat pertembungan itu, tiga mangsa yang menaiki kereta meninggal dunia di tempat kejadian dengan dua daripadanya tersepit di tempat duduk, sementara seorang lagi penumpang cedera parah dan dibawa ke di Hospital Kulim.

“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Katanya, pemandu lori terbabit tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkitan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Tiga beranak maut[1]

References

  1. ^ Tiga beranak maut (www.hmetro.com.my)


Tags :

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp