Categories : Sukan

 

Azizulhasni Awang bersama atlet berbasikal negara menjalani latihan ringan dan meninjau keadaan Velodrome Nasional di Nilai. – Foto Iqmal Haqim Rosman

NILAI: Pembinaan Velodrom Nasional Nilai berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya, bulan depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata projek itu yang bernilai RM80 juta, sudah 96 peratus siap dibina.

Ahmad Shapawi berkata, velodrom bertaraf Kelas 1 UCI itu akan menjadi gelanggang untuk Sukan SEA Kuala Lumpur (KL 2017) dan sebaik saja siap sepenuhnya bakal menganjurkan lebih banyak kejohanan seperti Junior Cycling Malaysia (JCM).

“Banyak kejohanan yang akan dianjurkan termasuklah Junior Cycling Malaysia, Kejohanan pra Sukan SEA ataupun sebagainya,” kata Shapawi selepas menyaksikan trek berkenaan diuji oleh raja keirin dunia, Azizulhasni Awang buat julung kalinya, hari ini.

“Kita selesaikan Sukan SEA, selepas itu baharu disusuli dengan kejohanan lain,” katanya mengenai fasiliti berkenaan yang berkapasiti 1,800 tempat duduk itu.

Selain itu, fasiliti berkenaan turut mempunyai ruang pejabat, surau dan trek BMX di luar velodrom. Untuk permukaan trek velodrom, ia menggunakan kayu jenis ‘Siberian Spruce’.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp