Categories : Semasa

 

ZAINAL (kanan) memantau jumlah mangsa banjir di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuantan, hari ini. – Foto Asrol Awang

KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelar tindakan segelintir individu yang memuat naik gambar lama banjir di seluruh Pahang dalam media sosial sehingga mengelirukan orang ramai.

Pengarah APM negeri, Zainal Yusof berkata, orang ramai terutama ahli keluarga yang terbabit dengan banjir diminta menghubungi terus Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) negeri di talian 09-5130972, bagi mendapatkan maklumat lebih tepat.

Beliau berkata, PKOB negeri yang beroperasi 24 jam sejak Selasa lalu di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, sedia membantu pelbagai pihak untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa banjir di seluruh daerah.

“Ada individu atau pihak tertentu memuat naik gambar lama hingga memberi kesan terhadap penduduk yang bimbang dengan kejadian banjir yang melanda sembilan daerah di Pahang ketika ini.

“Setakat ini, kita tidak menghadapi masalah berhubung maklumat jumlah mangsa banjir kerana mendapat kerjasama daripada semua agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Zainal berkata, setakat ini, tiada bekalan makanan terputus di pusat pemindahan kerana ia sudah dihantar sejak Oktober tahun lalu.

Selain itu, katanya, bilangan mangsa banjir di Pahang meningkat terutama di kawasan pesisiran sungai di daerah seperti Lipis, Maran dan Pekan berikutan peningkatan air Sungai Pahang serta beberapa sungai utama walaupun cuaca baik sejak dua hari lalu.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp