Categories : Semasa

 

Bagaikan kejutan apabila nama Fikry Ibrahim pantas memukau banyak pihak selepas kejayaan drama Hero Seorang Cinderella yang dibintanginya tahun lalu.

Memiliki paras rupa kacak, tinggi lampai dan berkulit hitam manis, itu antara daya penarik yang membuatkan Fikry digemari dalam kalangan generasi muda.

Apa yang pasti, jejaka yang dibesarkan di Jitra, Kedah ini mempunyai pesona tersendiri selain memiliki kemampuan untuk menjadi pelakon berkebolehan.

“Melihat perjalanan seni saya sejak tahun lalu, ia melakar satu demi satu kejayaan manis dan perubahan yang berbeza dalam hidup saya.

“Saya bersyukur dengan setiap peluang dan rezeki yang Allah berikan ini. Saya mengharapkan apa yang dikecapi ini akan terus mengalir, sekali gus memberi manfaat kepada khalayak.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh terlalu selesa kerana belum tahu kesudahan yang bakal dinikmati nanti.

“Jadi, saya sentiasa audit diri dengan berusaha dan memperbaiki diri supaya menjadi anak seni berkualiti serta dapat memberi kepuasan maksimum,” katanya.

Lahir daripada program Lawak Solo pada 2016, Fikry tidak menganggap kehadirannya hanya sekadar menjual rupa semata-mata.

Menurut Fikry, jika dia menjual rupa maka mustahil dia menerima tawaran sebagai pengacara program Gema Gegar Vaganza (GGV) tahun lalu.

“Kalau saya hanya sekadar jual rupa, mustahil saya akan dipanggil sebagai hos program realiti kerana bidang pengacaraan ini memerlukan seseorang yang boleh mengawal keseluruhan program dengan baik.

“Saya tidak katakan saya hebat kerana sehingga kini masih belajar, jika dilihat kepercayaan yang diberikan pasti bukan diambil kerana paras rupa, tetapi diukur menerusi kemampuan yang dimiliki,” katanya.

Siapa sangka dalam tempoh setahun mencanai bakat, jejaka berusia 24 tahun ini sudah berjaya mencantikkan portfolio seninya melalui percubaan demi percubaan yang dilakukan.

Bagaimanapun, Fikry selalu berpesan kepada diri untuk tidak berhenti belajar ilmu lakonan dan pengacaraan bagi memberi impak khususnya buat peminat yang sentiasa mengikuti rapat aktiviti seninya.

“Sebagai anak seni, proses belajar tak pernah berhenti. Saya memang sedang mencari ilmu pengacaraan dan lakonan.

“Saya tidak mahu kehadiran saya dipandang sebelah mata. Kalau boleh, saya mahu bertahan lama dalam bidang ini kerana cinta dan sayangkan kerja ini,” katanya.

Fikry juga bersyukur impak kehadirannya berjaya membantu keluarganya walaupun kurang masa bersama kerana sibuk dengan jadual seni yang padat.

“Alhamdulillah impian saya untuk membantu keluarga tercapai. Dapatlah saya meringankan beban keluarga di kampung. Walaupun jadual saya padat dengan kerja dan komitmen belajar, saya tetap gembira serta puas.

“Bukan apa, rasa seronok apabila kehidupan saya sentiasa diwarnai pelbagai aktiviti. Saya tidak bosan kerana setiap hari masa saya diisi dengan kerja dan belajar,” katanya yang juga pelajar jurusan Pengiklanan di Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Lebih selesa solo

Pemilik nama sebenar Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim itu mengakui masih solo dan belum terfikir soal cinta.

“Buat masa ini, saya belum mempunyai teman wanita. Lagipun, saya kurang gemar untuk berkongsi hal cinta kepada umum kerana bimbang kisah cinta tidak berakhir dengan baik.

“Jadi seelok-eloknya biarlah kisah cinta itu hadir dengan sendirinya. Saya pun tidak tergesa-gesa untuk memiliki teman hidup kerana fokus sekarang adalah mencari aset dan membina nama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fkry kini sibuk mempersiapkan diri untuk mengendalikan program GGV 2 dan baru selesai menjalani penggambaran Cekelat Tak Semanis Honey untuk siaran Astro.


Tags :

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp