Categories : Jenayah

 

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber/Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din – Foto Muhammad Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita yang dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan belian barang dalam talian membabitkan kerugian RM39,580 dalam serbuan di sebuah hotel di Setapak, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 7.40 malam itu, suspek yang berusia 25 tahun ditahan bersama dua rakan lelaki, kedua-duanya berusia 22 tahun.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din, berkata siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit dengan sekurang-kurangnya 14 kes penipuan membabitkan kerugian RM39,580.

“Satu daripada kes berlaku di daerah Gombak di mana suspek terbabit dalam satu kes penipuan pembelian sebuah telefon bimbit yang dilaporkan pada 13 Mei lalu.

“Pada mulanya mangsa mengiklankan penjualan sebuah telefon bimbit di sebuah laman web menawarkan harga jualan RM3,000.

“Suspek kemudian menghubungi mangsa menyatakan minatnya untuk membeli telefon berkenaan dan bersetuju untuk berjumpa dengan mangsa.

“Dalam pertemuan terbabit suspek menunjukkan satu resit palsu kononnya satu pemindahan wang sudah dibuat ke akaun mangsa dan mendesak mangsa menyerahkan barang berkenaan dengan segera kerana dia perlu bergegas balik ke Johor kerana ibunya sakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Kamaruddin, berkata tanpa membuat sebarang pemeriksaan, mangsa yang mempercayai dakwaan suspek terus menyerahkan telefon bimbit terbabit kepadanya.

“Mangsa kemudian membuat pemeriksaan akaun dan mendapati tiada sebarang pemindahan wang yang dibuat oleh suspek dan dia kerugian sebanyak RM3,000,” katanya.

Selain itu, katanya hasil siasatan mendapati suspek pernah dihukum penjara selama empat bulan bersabit tiga kes penipuan serupa sebelum ini.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan dan suspek direman empat hari bermula hari ini.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp