Categories : Jenayah

 

WANITA warga emas, Yan Kiew Mooi, 72, yang menunggang basikal maut di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah treler. – Foto ihsan PDRM

IPOH: Seorang wanita warga emas yang menunggang basikal maut selepas dipercayai dirempuh sebuah treler di persimpangan lampu isyarat Bandar Baru Putra, Bercham, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 8.45 pagi itu, Yan Kiew Mooi, 72, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata siasatan awal mendapati treler dipandu lelaki 53 tahun itu dalam perjalanan dari Bercham ke Kuala Kangsar manakala mangsa dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, treler berkenaan berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah sambil menyalakan lampu isyarat untuk membelok ke kiri menghala Tanjung Rambutan.

“Sebaik lampu isyarat bertukar hijau, pemandu treler membelok ke kiri sebelum terdengar bunyi seperti terlanggar sesuatu di hadapan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Chang Keong berkata, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp