Categories : Jenayah

 

BAGAN DATUK: Seorang warga emas yang menyertai acara berbasikal Program FitMalaysia Perak sempena Larian Obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang tiba di daerah ini, meninggal dunia akibat sakit jantung pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Osman Oda, 63, mengalami sesak nafas ketika berbasikal di Jalan Parit 25, Hutan Melintang di sini dan cuba diberi bantuan pernafasan oleh dua pegawai St John Ambulans yang berada di kawasan kejadian sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Hutan Melintang untuk diberi bantuan kecemasan. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mangsa bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir di klinik berkenaan yang kemudian disahkan akibat serangan jantung. 

“Si mati mempunyai sejarah sakit jantung dan beberapa kali menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) hampir selama setahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.  

Beliau berkata, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan tiada unsur jenayah berlaku. 

Katanya, sebelum itu, mangsa yang tinggal di Taman Wawasan Hutan Melintang menyertai acara berbasikal sejauh 30 kilometer dari Sekolah Kebangsaan Simpang Empat Hutan Melintang, melalui beberapa laluan sebelum kembali ke kawasan sekolah berkenaan.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp