Categories : Sukan

 

PAUL Annacone.

PARIS: Naib juara Terbuka Perancis, Stan Wawrinka menyenaraikan Paul Annacone dari Amerika Syarikat dalam staf kejurulatihannya bagi musim gelanggang rumput akan datang selepas kekalahan kepada Rafael Nadal pada final Roland Garros, kelmarin.

Annacone pernah melatih bekas pemain nombor satu dunia, Pete Sampras dari 1995-2001 dan untuk tempoh singkat pada 2002.

Jurulatih berusia 52 tahun itu akan bekerjasama dengan jurulatih Wawrinka, Magnus Norman, yang pernah melatih juara 18 kali Grand Slam, Roger Federer pada 2010 dan 2011.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan saya sudah mengambil Paul Annacone ke dalam staf kejurulatihan sedia ada untuk membantu ketika musim gelanggang rumput selama empat minggu selepas ini,” kata Wawrinka kelmarin.

“Pengalaman Paul sudah menceritakan segala-galanya kerana dia sudah melatih ramai pemain terhebat sepanjang zaman,” kata pemain nombor tiga dunia ini.

“Pengetahuannya boleh menambah pemahaman kami mengenai gelanggang rumput. Menjadi satu penghormatan untuk menambah jurulatih seperti itu ke dalam pasukan,”

Wawrinka akan beraksi pada Kejuaraan Aegon di Birmingham minggu depan sebelum bermulanya Wimbledon pada 3 Julai. Dia juga mara dua kali ke suku akhir pada Grand Slam itu.

– Reuters

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp