Categories : Hiburan

 

YANA Samsudin bersama suami dan anak mereka.

KUALA LUMPUR: Yana Samsudin, 32, selesa membawa anaknya, Aisy Mateen, 8 bulan, ke majlis bagi mendedahkan kanak-kanak itu kepada dunia luar.

Yana berkata, biarpun ragam anak kecil sukar dijangka, setakat ini dia belum berdepan sebarang masalah ketika membawa si kecil ke mana-mana acara. Tambahan pula, suaminya, Fadzil Zahari, banyak membantu menguruskan anak.

“Saya selesa membawa Mateen ke majlis atau acara kerana ia bagus sebagai pendedahan awal untuknya. Saya juga tidak mempunyai pembantu rumah dan lebih selesa membawa anak bersama jika ada kerja luar.

“Jadual hujung minggu dipenuhi dengan acara motivasi dan ia memerlukan saya untuk bergerak ke banyak tempat. Jadi, saya memilih untuk membawa suami dan anak bersama-sama.

“Buat masa ini, saya tidak memerlukan khidmat pembantu rumah kerana lebih banyak menghabiskan masa di luar. Begitupun, jika tidak menang tangan pada masa depan, mungkin ia membuatkan saya mengubah fikiran,” katanya kepada BH Online.

Biarpun sibuk mengendalikan kerjaya dan perniagaan, Yana menjelaskan, tanggungjawab dirinya sekarang lebih terarah terhadap keluarga selepas berumahtangga.

Bintang Adnan Sempit itu mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penulis skrip, Fadzil, pada 13 Februari 2015.

Pasangan itu dikurniakan cahaya mata sulung diberi nama Aisy Mateen, yang membawa maksud kehidupan yang teguh, pada 21 Julai tahun lalu.

Si comel Yana itu juga mula mengumpul peminatnya sendiri apabila akaun Instagram dibuka untuknya, @aiysmateen, kini diikuti oleh lebih 200,000 orang.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp