Categories : Semasa

 

SALURAN YouTube Harian Metro menerima anugerah ‘Silver Play Button’ daripada YouTube atas kejayaan mendapat lebih 100,000 pengikut.

Dengan kejayaan ini, saluran Youtube Harian Metro di https://www.youtube.com/hmetromy[1] yang diikuti lebih 130,000 pengguna muncul sebagai akhbar Bahasa Melayu yang mempunyai pengikut paling ramai di YouTube dengan purata 3.65 juta tontonan sebulan di Youtube pada 2017.

Pengarang Eksekutif Harian Metro Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, pengiktirafan itu membuktikan video yang dihasilkan Harian Metro sentiasa berubah mengikut peredaran masa untuk memenuhi cita rasa audien.

“Terima kasih kepada audien yang terus menyokong Harian Metro melalui akhbar kami sejak 26 tahun lalu, dan kini mengikuti melalui saluran YouTube pula.

“Kami berharap sokongan anda tidak akan terhenti kerana kami akan terus memberikan yang terbaik buat semua audien sama ada di media cetak atau platform digital.

“Harian Metro sentiasa memberi informasi berita terkini menerusi laman sosial rasmi di laman web Harian Metro dan saluran YouTube,” katanya selepas menerima anugerah ‘Silver Play Button’ daripada YouTube di Balai Berita, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarang The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Datuk Yushaimi Maulud Yahaya, Pengurus Besar Perniagaan Digital dan Pembangunan NSTP Azizi Othman, Pengarang Digital Harian Metro Aimie Masniza Ahmad Pardas dan Pengarang Multimedia NSTP Munir Anaam Zuljadan.

Anugerah berkenaan diberikan YouTube kepada mana-mana saluran yang melepasi jumlah pengikut melebihi 100,000 orang.

Sebelum ini, laman web Harian Metro menerajui carta pilihan portal berita di Malaysia untuk 2017 menerusi kategori berita dan maklumat.

Menurut statistik dikeluarkan firma pengukur dunia digital, ComScore Inc, laman web www.hmetro.com.my[2] merekodkan 48.1 juta pelayar unik (UV) sepanjang tahun lalu merangkumi pelayar yang mengunjungi laman web menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet.

Untuk suku keempat iaitu Oktober hingga Disember 2017, Harian Metro turut unggul di tempat pertama dengan mencatatkan seramai 12.9 juta UV.

Pada suku ketiga tahun lalu, laman web Harian Metro mencatatkan seramai 13.1 juta UV sepanjang tiga bulan antara Julai hingga September sekali gus menerajui carta pertama.

Jumlah itu meningkat berbanding 12.2 juta UV yang dicatatkan pada suku kedua 2017.

Untuk suku pertama pula, Harian Metro mencatatkan seramai 10.1 juta UV.

Untuk laman sosial, peminat Facebook (FB) myMetro kini mencatatkan lebih 4.7 juta ‘likes’ manakala Twitter rasmi HM kini diikuti lebih 809,000 pengikut.

References

  1. ^ https://www.youtube.com/hmetromy (www.youtube.com)
  2. ^ www.hmetro.com.my (www.hmetro.com.my)


Tags :

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp