Categories : Hiburan

 

Zahid -Foto NSTP Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah hampir dua tahun meninggalkan Era FM, penyanyi, Zahid, berkata dirinya masih lagi dikaitkan dengan dunia penyampaian radio.

Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin, 37, bagaimanapun menerima perkara itu dengan terbuka. Pada masa sama beliau akan terus berusaha memperkenalkan diri sebagai penyanyi, bukannya penyampai radio.

“Saya tahu bukan mudah untuk segelintir pihak mengubah pandangan terhadap karier saya. Tetapi jujurnya, keputusan ini (mengundur diri daripada radio) adalah tindakan tepat dan saya tidak menyesal berbuat demikian.

“Saya melihat keputusan yang diambil itu lebih memudahkan laluan untuk saya mengatur strategi dalam karier muzik. Lagipun, minat saya lebih ke arah nyanyian,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun tambah Zahid, beliau mengakui usaha menyemarakkan kembali dunia nyanyiannya bukanlah sesuatu yang senang selepas agak lama kerjaya itu ditinggalkan.

Sejak berhenti sebagai penyampai radio, beliau tampil dengan dua single iaitu Biasa dan Biar Aku Yang Tahu. Namun, kedua-dua lagu berkenaan kurang mendapat sambutan.

Tidak berputus asa, Zahid terus bangun cuba menampilkan karya lagu baharu pula berjudul Lupakan, ciptaan sepenuhnya DJ Fuzz.

“Walaupun lagu saya kurang mendapat sambutan sebelum ini, saya tidak mungkin mengaku kalah. Saya kini tampil dengan lagu Lupakan dan ia sudah pun dimainkan di aplikasi muzik Spotify, Joox dan Raku.

“Lagu ini berkonsepkan pop R&B, dan saya harap ia mendapat maklum balas yang baik daripada peminat,” ujarnya.

Bantuan / Pertanyaan ? SMS, Call 01150202270 atau KLIK LINK INI untuk Whatsapp